Skip to main content

Malaysia

Permaisuri Agong sempurnakan pelancaran, penamaan Kapal Misi Pesisir Batch 2 TLDM

Raja Zarith Istanbul, Bernama
Malaysia hari ini mencatatkan sejarah baharu dalam pengukuhan pertahanan maritim menerusi upacara penamaan dan pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch 2 TLDM oleh Raja Permaisuri Agong. - Foto Bernama

ISTANBUL: Malaysia hari ini mencatatkan sejarah baharu dalam pengukuhan pertahanan maritim menerusi upacara penamaan dan pelancaran Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2), pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di limbungan kapal di sini.

Upacara itu disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut berangkat ke majlis itu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Kapal berkenaan dinamakan “Tunku Laksamana Abdul Jalil” dan sebagai simbolik pelancarannya dilakukan menerusi pelepasan satu kendi mengandungi air zam zam yang dibacakan surah Yasin ke dinding haluan kapal.

Penamaan dan pelancaran kapal itu merupakan upacara tradisi tentera laut sejak penubuhan Royal Navy, sebagai identiti rasmi sebelum sesebuah kapal baharu ditauliah dalam perkhidmatan TLDM.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Nasional Turkiye Musa Heybet, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Ahmad Amiri Abu Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Datuk Abdul Hadi Omar dan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.

Penamaan kapal pertama LMSB2 sebagai Tunku Laksamana Abdul Jalil, merupakan penghormatan tertinggi buat anakanda keempat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, Almarhum Tunku Abdul Jalil  yang merupakan ahli keluarga Diraja Johor pertama memegang gelaran “Laksamana” dalam sejarah moden. 

Nama itu diangkat bagi mengabadikan keberanian, ketabahan dan semangat juang kental Almarhum termasuk melalui slogan “Fight Like Jalil” serta legasi kebajikan baginda menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. 

Pemilihan nama itu sangat signifikan dengan TLDM, yang mana istilah “Laksamana” melambangkan panglima tertinggi yang diamanahkan untuk mempertahankan kedaulatan maritim negara, sekali gus menjadi sumber inspirasi buat seluruh warga TLDM yang bertugas di atas kapal tempur tersebut.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah berkata penamaan dan pelancaran kapal yang gah ini, yang merupakan antara beberapa aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menandakan lembaran baharu dalam persahabatan bersejarah antara Johor dan Turkiye yang terjalin sejak tahun 1860-an.

“Penamaan kapal ini sempena Jalil amat bermakna kepada keluarga kami, kepada saya dan suami sebagai ibu bapanya, serta kepada anak-anak lelaki dan perempuan kami sebagai adik-beradiknya. Ia merupakan satu penghormatan yang amat kami hargai.

“Jalil ialah Tunku Laksamana Johor, dengan gelaran ‘Laksamana’ membawa makna yang sangat penting dalam Kesultanan Melayu klasik sebagai ketua armada laut serta diplomat bagi misi luar negara,” titah Baginda.

Seri Paduka Baginda turut berharap agar kapal tersebut diberkati dan menzahirkan doa penuh ikhlas demi keselamatan semua yang akan berkhidmat di atas kapal itu.

Kapal Kelas Tunku berasaskan reka bentuk kapal korvet kelas-Ada oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) dengan panjang keseluruhan 99.56 meter (m) dan keluasan 14.42m itu merupakan aset tempur terkini TLDM yang direka untuk operasi pelbagai dimensi. 

Kejayaan pelancaran itu turut menyaksikan kemajuan kejuruteraan yang signifikan apabila kapal tersebut akan memulakan fasa setting to work (STW) dan integrasi sistem peperangan dan penderia di kapal.

Selain memperkasakan armada TLDM, pembinaan LMSB2 menzahirkan keberkesanan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye, terutamanya dalam aspek pemindahan teknologi di antara dua negara. 

Dengan pelancaran kapal pertama itu, Malaysia kini melangkah setapak lagi dalam membina keupayaan pertahanan yang moden dan berdaya saing bagi menghadapi persekitaran keselamatan maritim yang semakin kompleks dan mencabar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement