Skip to main content

Malaysia

Perhilitan tangkap gajah liar di Besut

Gajah Liar PERHILITAN
Dennis berkata gajah itu akan dipantau secara rapi oleh anggota Perhilitan sehingga operasi pemindahan dilakukan. - Gambar Perhilitan

JERTIH: Seekor gajah liar yang dijejaki anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sejak Khamis lepas berjaya ditangkap di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut dekat sini hari ini. 

Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata tangkapan pada 9 pagi itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan penduduk kampung tentang kehadiran seekor gajah jantan yang merayau di Kampung Keruak di sini sehingga mendatangkan ancaman keselamatan. 

“Susulan laporan itu, Perhilitan telah melancarkan operasi menangkap gajah berkenaan pada hari sama laporan diterima dan setelah dijejaki akhirnya berjaya ditangkap dekat Kampung Pasir Akar hari ini. 

“Gajah yang mempunyai saiz tapak kaki berukuran 40.6 sentimeter itu dalam keadaan stabil dan sihat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata gajah itu akan dipantau secara rapi oleh anggota Perhilitan sehingga operasi pemindahan dilakukan. 

Sementara itu, rata-rata penduduk menzahirkan rasa gembira dengan tangkapan gajah berkenaan memandangkan kehadiran haiwan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan selain merosakkan tanaman penduduk. 

Penduduk Kampung Pasir Akar Zainudin Yusof, 59, berkata gajah itu memasuki halaman rumahnya melalui pintu pagar utama dan keluar mengikut pintu pagar belakang malam tadi. 

“Lebih kurang pada 11 malam, saya dapati pagar belakang rumah saya telah patah dan roboh akibat dilanggar gajah itu dan hari ini saya berasa rasa lega kerana Perhilitan berjaya menangkapnya,” katanya, yang tinggal tidak jauh daripada lokasi gajah itu ditangkap. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video