Skip to main content

Malaysia

Pengukuhan ringgit, unjuran KDNK IMF, bukti keyakinan dunia terhadap ekonomi Malaysia

IPOH, 28 Mac -- Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, bercakap pada sidang media sempena Program Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) 2.0 2026 Peringkat Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Kamil berkata perkembangan tersebut juga merupakan mesej jelas bahawa Malaysia sedang kembali muncul sebagai destinasi ekonomi dan pelaburan diyakini di rantau Asia. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pengukuhan berterusan ringgit serta peningkatan unjuran ekonomi oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan kekuatan asas ekonomi negara dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perkembangan tersebut juga merupakan mesej jelas bahawa Malaysia sedang kembali muncul sebagai destinasi ekonomi dan pelaburan diyakini di rantau Asia.

Muhammad Kamil berkata CNBC Indonesia melaporkan ringgit mencatatkan peningkatan sekitar 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga penghujung April 2026, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan teratas dalam prestasi mata wang Asia, diikuti China dan Singapura.

“Apa yang lebih membanggakan, pengukuhan ini bukan berlaku secara sementara atau bersifat spekulatif.

“Sebaliknya, (ia) menunjukkan trend yang konsisten dan berterusan hasil kekuatan asas ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Kamil berkata kekuatan ringgit hari ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi disokong oleh faktor-faktor seperti pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, aliran masuk pelaburan asing positif, kestabilan politik, reformasi ekonomi jelas, serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan dan Bank Negara Malaysia.

“Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan tetapi simbol keyakinan dunia terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, IMF telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2026 kepada 4.7 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini, memperlihatkan keyakinan lebih tinggi terhadap ekonomi Malaysia walaupun ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan.

“Peningkatan unjuran ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan ekonomi lebih kukuh berbanding banyak negara lain, didorong oleh permintaan domestik yang mantap, asas eksport pelbagai serta keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negara,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video