KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan memperketat syarat pengambilan pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) dengan melaksanakan saringan latar belakang menggunakan “Sistem ANAK” bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terjamin.
Pengarahnya Che Samsuzuki Che Noh berkata menerusi sistem berkenaan, setiap individu yang ingin bekerja sebagai pengasuh atau penolong pengasuh akan disaring secara terperinci bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah mahupun masalah kesihatan kritikal.
Beliau berkata selain saringan latar belakang, setiap pengasuh diwajibkan untuk menghadiri dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAP).
"Pihak JKM tidak akan mengeluarkan lesen atau meluluskan pendaftaran sesebuah taska sekiranya pengusaha menggaji pengasuh yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai kelulusan KAP," katanya kepada pemberita di sini.
Che Samsuzuki berkata setiap taska yang ingin berdaftar dengan JKM juga diwajibkan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Jabatan Kesihatan.
Sementara itu, mengenai statistik pematuhan di Kelantan, beliau berkata ketika ini terdapat lebih 200 taska berdaftar di seluruh negeri, dengan 80 daripadanya beroperasi di Kota Bharu.
“Pihak JKM sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala ke atas premis berkenaan bagi memastikan pematuhan berterusan.
“Bagi sebarang kes aduan pula, pihak kami akan bertindak segera dan memastikan siasatan serta tindakan diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya sambil menambah setakat ini tiada sebarang aduan besar atau kes salah laku melibatkan taska dilaporkan di Kelantan.
Pada Isnin lepas, seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dilaporkan meninggal dunia.
Keluarganya menuntut keadilan selepas mendakwa kemungkinan terdapat unsur penderaan.
Bayi itu, Hayl Haarith Mohd Syafaeez dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira pada 4 pagi, selepas dihantar ke pusat berkenaan pada malam sebelumnya.
-- BERNAMA