KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang melarikan diri selama empat tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan di sebuah kawasan perumahan di Mont Kiara pada 2022.
V.V. Vadivelu, 39, bersama-sama tiga lagi individu yang telah dituduh sebelum ini didakwa telah membunuh Goh Chok Chuan, 63, di parkir kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, Mont Kiara, dekat sini, pada 11.40 malam, 11 Julai 2022.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret MS Arunjothy kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pegawai Pendakwa M. Alli Nangai tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
"Mohon mahkamah tetapkan satu tarikh sebutan untuk pendakwaan mendapatkan izin bagi memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi.
"Tiga lagi tertuduh yang didakwa sebelum ini telah dijatuhi hukuman setelah mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan," katanya.
Mahkamah menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pada 12 Julai 2022, media melaporkan pihak polis dalam satu kenyataan memaklumkan saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.
Mangsa dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang dipakir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu.
-- BERNAMA