CHUKAI: Penduduk Kampung Gong Limau di sini mendengar letupan kuat dalam kebakaran sebuah gerai menjual pelbagai jenis bunga api dan mercun pagi tadi.
Abd Mobin Omar, 62, berkata terkejut dengan bunyi itu dan cemas melihat percikan bunga api bertebaran memandangkan rumahnya hanya kira-kira 30 meter dari gerai tersebut.
“Percikan bunga api dan mercun berlarutan kira-kira 30 minit menakutkan penduduk yang sedang membuat persiapan bersahur.
“Sebahagian serpihan mercun dan bunga api turut terkena pintu pagar rumah saya serta jiran,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Abd Mobin berkata kebakaran juga memusnahkan sebuah kabin berdekatan gerai itu.
Sementara itu pembantu gerai Muhammad Ashraf Mohd Zulkiflie, 19, berkata kejadian itu berlaku tidak lama selepas dia keluar membeli juadah bersahur.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada rakan memaklumkan gerai terbakar,” katanya yang mendakwa majikannya kerugian kira-kira RM50,000 akibat kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata mereka menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 4.15 pagi.
“Bomba mengambil masa kira-kira 19 minit untuk mengawal api daripada merebak dan operasi ditamatkan pada 5.10 pagi,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 22 anggota BBP Chukai dan Kemaman terlibat dalam operasi itu.
Kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kematian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA