Skip to main content

Malaysia

Pembelajaran sepanjang hayat tonggak masyarakat bermentaliti kelas pertama – Halimah Yacob

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin dan bekas Presiden Singapura, Dr Halimah Yacob
Syed Faizuddin (kiri) bersama Lailatul Shahreen (dua dari kiri) memperkenalkan buah Harumanis kepada Halimah (tengah). Halimah yang juga bekas Presiden Singapura berada di Perlis bagi menyampaikan syarahan “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan” pada Selasa. - Gambar ihsan UniMAP

PAUH PUTRA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan balas mantan Presiden Singapura, Dr Halimah Yacob, di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, pada Selasa.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor UniMAP.

Majlis mengadap itu diadakan bersempena Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang menampilkan Halimah selaku Canselor Singapore University of Social Sciences (SUSS) dengan tajuk syarahan “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan.”

Syarahan berkenaan berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra sebelum majlis mengadap tersebut.

Dalam ucapannya, Halimah menegaskan, landskap dunia pekerjaan yang kini berubah dengan pantas menuntut perubahan minda masyarakat, khususnya dalam memahami bahawa proses pembelajaran tidak terhenti setakat memperoleh ijazah.

Sebaliknya, beliau berkata, pembelajaran perlu dilihat sebagai satu proses sepanjang hayat bagi memastikan seseorang individu kekal relevan, berkemahiran dan mampu beradaptasi dengan perubahan semasa.

“Dunia kini sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan yang bakal mengubah landskap pekerjaan.

“Perubahan akan terus berlaku, namun apa yang lebih penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadap perubahan tersebut dengan disiplin dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan pendekatan pembangunan tenaga kerja yang bersifat menyeluruh serta berterusan agar masyarakat mampu bersaing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

Halimah dalam pada itu berkongsi pengalaman Singapura membangunkan negara daripada sebuah ekonomi kecil kepada antara ekonomi maju dunia melalui perancangan strategik jangka panjang, tadbir urus yang berintegriti, serta pelaburan konsisten dalam sektor pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.

Kupasan tersebut bukan sahaja memberi perspektif baharu kepada para hadirin, malah memperkukuh kefahaman mengenai gagasan “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan” sebagai satu kerangka pemikiran penting dalam membentuk masa depan negara.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, penganjuran program seumpama itu dilihat mampu memperkukuh peranan UniMAP sebagai platform wacana intelektual yang signifikan, di samping menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan berintegriti.

Baginda turut berkenan menyatakan persetujuan dengan pandangan Halimah bahawa mentaliti kelas pertama tidak hanya diukur melalui pencapaian luaran semata-mata.

“Sebaliknya, ia bermula daripada standard dalaman diri yang berteraskan disiplin, integriti, tanggungjawab serta kejelasan tujuan,” titah baginda.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli serta Presiden SUSS, Professor Tan Tai Yong.
 

Must Watch Video