KUALA LUMPUR: Pematuhan yang rendah terhadap piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan industri, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menjadi kebimbangan serius dan memerlukan tindakan segera, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Lee berkata keselamatan tempat kerja tidak boleh dianggap sebagai pilihan kerana setiap pekerja mempunyai hak untuk pulang ke rumah dengan selamat dan pematuhan KKP yang rendah mendedahkan pekerja kepada kemalangan dan kematian yang boleh dicegah selain menjejaskan prestasi perniagaan.
“Setiap pekerja mempunyai hak asasi untuk pulang ke rumah dengan selamat pada penghujung hari dan majikan mempunyai tanggungjawab undang-undang dan moral untuk memastikan persekitaran kerja yang selamat.
“Amalan keselamatan yang lemah juga mengakibatkan kerugian produktiviti, tuntutan pampasan, kerosakan reputasi dan peningkatan kos penjagaan kesihatan. Dalam jangka masa panjang, mengabaikan keselamatan jauh lebih mahal daripada melabur dalam pencegahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata walaupun PKS sering menghadapi kekangan seperti sumber kewangan terhad, kekurangan kepakaran teknikal dan kurang kesedaran mengenai keperluan KKP, ia tidak boleh menjejaskan keselamatan kerana mesti disepadukan ke dalam operasi perniagaan tanpa mengira saiz syarikat.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru supaya kesedaran dan pendidikan diperkukuh kerana kemungkinan PKS tidak memahami sepenuhnya kewajipan KKP mereka.
“Agensi kerajaan, persatuan industri dan dewan perniagaan harus memperhebat program jangkauan, menyediakan garis panduan yang dipermudah dan menawarkan latihan praktikal yang disesuaikan khusus untuk PKS,” katanya.
Lee juga mencadangkan insentif untuk menggalakkan pematuhan termasuk mengurangkan duti import dan cukai ke atas kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peranti keselamatan lain supaya lebih mampu milik kepada majikan, terutamanya PKS untuk melabur dalam peralatan keselamatan sewajarnya.
“Insentif tambahan boleh merangkumi potongan cukai untuk pelaburan KKP, geran untuk naik taraf keselamatan dan skim pengiktirafan bagi syarikat yang mempunyai rekod keselamatan cemerlang,” katanya.
Lee berkata penguatkuasaan mesti diperkukuh melalui pemeriksaan berkala, audit berasaskan risiko dan penalti lebih ketat bagi ketidakpatuhan berulang di samping menumpukan bukan hanya kepada hukuman tetapi juga tindakan yang memerlukan majikan membetulkan bahaya dalam tempoh ditetapkan.
Beliau juga mengetengahkan peranan teknologi termasuk alat pelaporan digital dan platform penilaian kendiri untuk membantu PKS mengurus pematuhan dengan lebih berkesan.
“Memperbaik pematuhan KKP bukan sekadar memenuhi peraturan, tetapi melindungi nyawa, menjaga mata pencarian dan membina perniagaan yang bertanggungjawab. Keselamatan bukan kos sebaliknya pelaburan dalam sumber manusia, produktiviti dan masa depan negara,” katanya.
-- BERNAMA