Skip to main content

Malaysia

Pemangku Raja Kelantan seru kerajaan negeri tumpu usaha tingkatkan ekonomi, keharmonian sosial

KOTA BHARU, 20 April -- Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan mencemar duli berangkat menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan mencemar duli berangkat menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra menyeru kerajaan negeri  dan rakyat menumpukan usaha meningkatkan keupayaan ekonomi, memelihara keharmonian sosial, menghormati nilai keagamaan dan menghargai perpaduan selari dengan Dasar Membangun Bersama Islam

Baginda bertitah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara suasana yang aman dan harmoni dengan menjunjung tinggi undang-undang, peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dalam setiap aspek kehidupan termasuk perkara sensitif merangkumi pembinaan rumah atau tempat ibadat yang menjadi perhatian ramai ketika ini.

"Kepatuhan ini bukan sahaja mencerminkan kematangan sivik, malah menjadi asas penting dalam mengelakkan sebarang bentuk pertelingkahan dan ketidakharmonian.

"Sebarang tindakan yang mencemar kesucian agama atau menimbulkan ketegangan antara kaum tidak boleh diterima sama sekali. Undang-undang perlu dilaksanakan secara adil dan tegas serta disusuli dengan pelaksanaan program kesedaran bagi memastikan keamanan awam serta keharmonian negeri ini terus dipelihara," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Kelantan bertitah sektor pelancongan turut menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

"Beta bersyukur kerana negeri Kelantan dianugerahkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta tradisi yang unik, sekali gus menjadikan negeri beta sebagai destinasi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

"Oleh itu, beta menyeru kerajaan negeri agar terus mempergiat usaha menaik taraf kemudahan pelancongan serta memperluas promosi pelancongan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026," titah baginda.

Baginda turut menggesa kerajaan negeri agar dapat mewujudkan platform sokongan khidmat psikologi, sokongan sosial, persekitaran dan kerohanian seperti penyediaan taman-taman rekreasi serta kemudahan sukan.

-- BERNAMA

Must Watch Video