Skip to main content

Malaysia

PEKEMA perkasa kebajikan pelajar melalui Program Gerobok Rezeki Siswa

Program PEKEMA Prihatin , PERKEMA , mahasiswa B40
Sumbangan Program PEKEMA Prihatin – Gerobok Rezeki Siswa kepada 11 institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara. - Gambar PEKEMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) memperkukuh usaha kebajikan mahasiswa melalui pelaksanaan Program PEKEMA Prihatin Gerobok Rezeki Siswa yang melibatkan 11 institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program Gerobok Rezeki Siswa merupakan antara inisiatif penting bagi membantu meringankan kos sara hidup pelajar, khususnya dari segi keperluan makanan harian.

"Inisiatif itu diharap dapat membantu pelajar supaya tidak terlalu terbeban dengan kos makan harian sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan sepenuhnya kepada pengajian," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata mahasiswa hari ini merupakan aset penting kepada masa depan negara, justeru sokongan melalui program itu diharap dapat membantu mereka menumpukan perhatian kepada pembelajaran serta pembangunan diri.

Tambahnya, program tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan PEKEMA dalam menyokong sektor pendidikan dan memastikan mahasiswa dapat meneruskan pengajian dalam keadaan lebih selesa

Program PEKEMA Prihatin – Gerobok Rezeki Siswa akan diuruskan oleh pihak universiti masing-masing bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada pelajar yang benar-benar layak dan memerlukan.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memperuntukkan sebanyak RM20,000 setahun kepada setiap universiti bagi menyediakan kemudahan makanan sarapan dan makan tengah hari secara percuma kepada pelajar yang memerlukan, khususnya daripada golongan B40.

Secara keseluruhan, sebanyak RM220,000 setahun disalurkan bagi menyokong pelaksanaan program tersebut di kampus terlibat termasuk Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi MARA.
 

Must Watch Video