Skip to main content

Malaysia

Pecah premis: Bekas banduan ditahan, anggaran kerugian hampir RM60,000

op cash box
Mohammad Lazim dalam sidang media pad Isnin.

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah kedai dan premis secara bersiri menerusi Op Cash Box dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohammad Lazim Ismail berkata tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wangsa Maju melalui Bahagian D4, hasil risikan yang dijalankan sejak Julai tahun lepas.

Menurutnya, suspek yang direman selama tujuh hari itu dipercayai aktif melakukan jenayah pecah kedai serta melarikan peti wang tunai sejak 2025.

“Suspek seorang gelandangan dan kembali aktif selepas menjalani hukuman penjara selama setahun, atas kesalahan yang sama.

“Dalam operasi ini, pihak polis turut merampas 11 barangan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan jenayah tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati subjek terlibat 30 kes di Kuala Lumpur dengan nilai kerugian dianggarkan sejumlah RM59,546," katanya katanya dalam sidang media pada Isnin.

Katanya lagi, berdasarkan risikan, suspek terlibat 11 kes di Daerah Wangsa Maju, tujuh kes di Daerah Dang Wangi, enam kes di Daerah Cheras, empat kes di Daerah Sentul dan dua kes di Daerah Brickfields.

Tambahnya, polis turut percaya suspek mempunyai kaitan dengan beberapa kes lain di kontinjen berbeza yang masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah atau premis dengan melakukan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi.

Must Watch Video