KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) meneliti semula SOP penjualan mercun susulan beberapa insiden kebakaran dan kemalangan melibatkan tapak jualan serta stor simpanan mercun.
EXCO Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim ketika bercakap kepada Media Selangor menegaskan, kerajaan negeri memandang serius kejadian yang berpunca daripada kecuaian dan pengabaian aspek keselamatan.
Ng berkata, semakan semula itu meliputi penilaian terhadap pelesenan, bilangan lesen dikeluarkan serta lokasi jualan, selain keperluan memperketat SOP keselamatan menjelang Aidilfitri supaya risiko kemalangan dapat diminimumkan.
Beliau menambah bahawa langkah tersebut penting untuk memastikan keselamatan awam terjamin dan sambutan perayaan berlangsung dalam keadaan terkawal.
“Kerajaan Negeri memandang serius kejadian kebakaran mercun yang menimbulkan insiden kemalangan akibat kecuaian, kelalaian serta mengabaikan faktor keselamatan.
Oleh itu, saya telah minta semua PBT kaji semua SOP tentang jualan mercun termasuk lesen yang dikeluarkan, bilangannya dan lokasinya supaya kita dapat perketatkan keselamatan dan elakkan insiden berulang.” katanya.
Ng turut menegaskan bahawa pembakaran mercun oleh orang awam perlu dilakukan dengan tertib dan berwaspada bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Isu ini juga katanya akan dibawa ke mesyuarat stanco Kerajaan Tempatan untuk diperincikan, termasuk penambahbaikan garis panduan keselamatan serta pemantauan lebih ketat oleh PBT.