LAHAD DATU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Lahad Datu menahan dua lelaki tempatan dan merampas 1,000 liter minyak diesel berserta dua kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM117,150, awal pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Lahad Datu Azizul Amran berkata tangkapan dan rampasan dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan di sebuah stesen minyak di daerah ini.
Beliau berkata operasi bermula pada 12 tengah malam dan disertai empat anggota penguat kuasa yang bertujuan memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 serta pemeriksaan di stesen minyak.
“Semasa pemeriksaan, penguat kuasa mengesan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an sedang mengisi diesel ke dalam tong dram yang diletakkan di atas dua kenderaan pacuan empat roda.
“Siasatan awal mendapati dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian minyak diesel tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizul berkata dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, di Beaufort, tiada sebarang pelanggaran peraturan dikesan dalam pemeriksaan bersepadu ke atas beberapa stesen minyak yang dilaksanakan KPDN Cawangan Beaufort dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort Julie Julhani berkata operasi melibatkan semakan menyeluruh terhadap pematuhan pengusaha stesen minyak termasuk aspek pengurusan stok bahan api dan syarat penjualan RON95 hanya kepada warganegara Malaysia.
Pemeriksaan turut memberi perhatian kepada pematuhan had kuantiti penjualan bahan api mengikut kategori kenderaan serta pengesanan kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam aktiviti penyelewengan, khususnya diesel.
Dalam pada itu, PDRM melalui Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort dalam kenyataan memberi amaran sebarang ancaman terhadap pegawai penguat kuasa yang menjalankan tugas rasmi tidak akan dikompromi.
Operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kehadiran pihak berkuasa di lapangan dan memperkukuh keyakinan orang awam terhadap usaha kerajaan dalam memastikan pematuhan undang-undang serta kestabilan bekalan bahan api.
-- BERNAMA