Skip to main content

Malaysia

Ops HRA 2026: Lebih 2,000 kesalahan dirakam melalui dron - JPJ

Drone OPS HRA_BERNAMA
Penggunaan dron bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna jalan raya sebaliknya sebagai langkah proaktif untuk merakam dan mengenal pasti kesalahan yang menjadi punca kepada kemalangan, kata Muhammad Kifli. - Gambar Bernama

KOTA BHARU: Sebanyak 2,384 kesalahan berjaya dirakam melalui penggunaan dron dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang bermula 16 Mac lepas.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, empat kesalahan utama yang dikenal pasti ialah memotong di garisan berkembar sebanyak 715 kes, tidak mematuhi lampu isyarat (627 kes), memotong di sebelah kiri atau memotong barisan (539 kes), serta menggunakan lorong kecemasan (503 kes).

Beliau berkata, setiap kesalahan yang dirakam akan dijadikan bukti dan JPJ akan mengeluarkan notis temu siasat kepada pemilik kenderaan terlibat.

“Terdapat 200 kesalahan trafik dikesan dengan menggunakan teknologi dron dalam tempoh hanya 45 minit, sekali gus membuktikan keberkesanan penggunaan dron dalam operasi penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas Ops HRA 2026 di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini malam tadi.

Muhammad Kifli berkata, setakat ini JPJ mempunyai enam unit dron untuk kegunaan ibu pejabat dan perancangan sedang dibuat untuk memperluaskan penggunaannya dalam semua operasi akan datang.

Beliau berkata, penggunaan dron bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna jalan raya sebaliknya sebagai langkah proaktif untuk merakam dan mengenal pasti kesalahan yang menjadi punca kepada kemalangan.

"Pendekatan ini memberi fokus kepada aspek keselamatan dengan memastikan pengguna jalan raya lebih berdisiplin serta mematuhi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, pengguna yang menerima notis boleh membuat bayaran kompaun dalam tempoh 15 hari bagi menikmati diskaun 50 peratus, menjadikan jumlah bayaran RM150 selepas potongan.

"JPJ menegaskan bahawa penggunaan dron berkeupayaan tinggi, termasuk fungsi zoom hingga 200 kali, membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti dengan jelas walaupun dari jarak jauh," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata, hasil semakan pangkalan data JPJ mengenal pasti 288 lokasi “hotspot” di seluruh negara berdasarkan kadar kemalangan dan kesalahan lalu lintas yang tinggi. 

Beliau berkata, tiga negeri mencatat jumlah tertinggi iaitu Kelantan sebanyak 53 lokasi, Sarawak (50) dan Perak (34).

"Di Kelantan, kesalahan paling ketara dikesan adalah melibatkan memotong barisan dan melanggar lampu isyarat. Semua kesalahan ini melibatkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video