PUTRAJAYA: Seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin telah menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam Op Godfather.
Ketua Pesuruhjaya SRPM, Tan Sri Azam Baki berkata keberadaan tiga lagi anak bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun masih belum diketahui.
"Setakat ini hanya seorang daripada anak Allahyarham Tun Daim telah menghubungi kami.
"Tiga yang lain, kita masih tidak mengetahui keberadaan mereka dan kita telah menggesa melalui pihak peguam supaya menghubungi ketiga-tiga mereka untuk hadir ke pejabat kami secepat mungkin," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Pada 28 Februari lalu, SPRM memaklumkan telah mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Allahyarham Tun Daim, berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.
SPRM menjalankan Op Godfather di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Dalam pada itu, Azam memaklumkan bahawa siasatan Op Godfather turut melibatkan pengesanan harta di beberapa negara yang dipercayai bernilai berbilion ringgit.
"Kami mempunyai senarai harta-harta di beberapa negara. Saya tidak mahu menyebut negara-negara berkenaan dan juga jumlahnya, tetapi ia berbillion ringgit yang telah kami kesan," jelasnya.
Menurut beliau, siasatan dikendalikan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM, yang kini sedang menjalinkan kolaborasi dan perbincangan dengan pihak berkuasa negara-negara terlibat.
Katanya lagi, segala tindakan yang diambil perlu mematuhi undang-undang negara berkenaan menerusi kerjasama perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA).