Skip to main content

Malaysia

"Nyawa balas nyawa..." - Rintihan balu suami maut dirempuh pemandu mabuk

Klang , 1 April 2026.Isteri mangsa ,Nor Nadia Abdul Majid, hadir ke Mahkamah Majistret Klang bagi mengikuti pertuduhan yang menyebabkan kematian suaminya oleh seorang individu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Nor Nadia hadir di Mahkamah Majistret Klang sekitar jam 9.20 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan terhadap pemandu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol sehingga menyebabkan kematian suaminya. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KLANG: Dengan langkah perlahan dan wajah yang sarat kedukaan, Nor Nadia Abdul Majid, muncul di pekarangan Mahkamah Majistret Klang sekitar jam 9.20 pagi, membawa bersama beban kehilangan yang tidak tertanggung - kehilangan suami, tempat bergantung hidup, dan ayah kepada tiga anak kecil.

Nor Nadia, 32, berdiri dalam keadaan sugul ketika didekati pengamal media. 

Air matanya ditahan, suaranya bergetar, namun mesejnya tegas - sebak tetapi penuh kekuatan seorang isteri yang direntap takdir.

“Nyawa balas nyawa… itu sahaja,” luahnya, sebelum tunduk menahan sebak.

Pada Selasa, dalam nada yang sama hiba namun penuh keberanian, Nadia menegaskan, dia akan menuntut keadilan sepenuhnya atas kematian suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut selepas dilanggar seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Saya nak ambil tindakan… saya kena berjuang untuk keadilan anak-anak. Saya tetap nak saman. Kalau boleh, beratkan lagi hukuman… penjara tak cukup,” katanya.

Nadia, yang baru dua bulan memulakan perniagaan kecil secara dalam talian , kini hilang tulang belakang keluarga.

“Dia dah hilangkan nyawa… saya dah hilang tempat bergantung. Anak-anak kecil lagi… saya fikir anak-anak sahaja sekarang,” katanya ketika ditemui di Kampung Repoh, Batu Kurau, pada Selasa.

Allahyarham Amirul yang bekerja di sebuah gudang dan juga sebagai penghantar barangan, menjadi mangsa setelah motosikalnya dirempuh kuat menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tertuduh, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an, tiba di mahkamah sekitar jam 8.50 pagi untuk pendakwaan. 

Suspek sebelum ini direman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada hari kejadian, suspek yang memandu Honda City dikatakan memecut laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

 

Must Watch Video