Skip to main content

Malaysia

Nahas dua kenderaan di Jeli ragut nyawa anak Editor Kanan Astro AWANI

kemalangan maut, editor, astro awani
Anak kepada editor kanan Astro AWANI, disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga, petang Jumaat. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Anak kepada editor kanan Astro AWANI, disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli, berhampiran Kampung Rahmat, Bukit Bunga, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Perodua Myvi yang dipandu Allahyarham Mursyid Azmi, dan sebuah Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat dalam perlanggaran ketika kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah bertentangan.

Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku di laluan selekoh dengan garisan tengah berkembar, dalam keadaan cuaca baik. 

Kenderaan Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Rantau Panjang dipercayai terbabas ke lorong bertentangan sebelum melanggar kenderaan Toyota Fortuner di bahagian sisi kanan.

Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan, menurut pengesahan pihak keluarga.

Difahamkan dua lagi penumpang wanita, yang juga ahli keluarga kepada pemandu, mengalami kecederaan, dengan seorang daripadanya cedera ringan.

Sementara itu, pemandu dan penumpang Toyota Fortuner yang sedang menjalankan tugas rondaan Ops Khas HRA 2026 dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius. 

Kenderaan jabatan tersebut bagaimanapun mengalami kerosakan teruk di bahagian kanan termasuk fender, pintu, cermin hadapan serta tayar hadapan yang tercabut.

Pasukan JPJ dari SPK Bukit Bunga tiba di lokasi tidak lama selepas kejadian bagi memberikan bantuan awal serta mengawal aliran trafik. 

Laluan terlibat mengalami kesesakan sementara kerja-kerja menyelamat dan pengalihan kenderaan dijalankan.

Kes kemalangan itu kini dalam siasatan pihak polis, dan satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Keluarga besar Astro AWANI merakamkan ucapan takziah kepada editor web, Husna Yusop dan seluruh ahli keluarga atas kehilangan yang amat besar ini.

Jenazah Allahyarham Mursyid akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kg Gual Mesa, Pasir Mas selepas solat Hari Raya Aidilfitri.

Must Watch Video