Skip to main content

Malaysia

MOTAC pergiat promosi Tahun Melawat Malaysia ke pasaran Eropah - Tiong

61769079054_TiongKingSing.jpg
Tiong King Sing berkata, langkah tersebut antara strategi kementerian untuk mempromosikan pelancongan negara susulan perkembangan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempergiat promosi di beberapa pasaran utama termasuk Eropah, Asia dan ASEAN dalam memastikan sasaran kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dapat dicapai.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah tersebut antara strategi kementerian untuk mempromosikan pelancongan negara susulan perkembangan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.

“MOTAC serta semua agensi di bawahnya akan duduk berbincang menyusun semula strategi dan sekarang kita akan tumpu (pasaran) Eropah, Asia dan ASEAN,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan Bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di sini, pada Khamis.

Tiong berkata, strategi itu penting bagi memastikan sektor pelancongan negara kekal berdaya tahan selain mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif di peringkat antarabangsa.

Pada Rabu, Tiong berkata, MOTAC mengadakan mesyuarat hari ini (Khamis) bagi membincangkan strategi baharu bagi mempromosikan TMM 2026, susulan ketegangan di Asia Barat.

Mesyuarat dalaman itu diadakan bersama pihak berkepentingan industri pelancongan bagi meneliti perkembangan semasa, di samping menyusun semula strategi promosi.

-- BERNAMA

Must Watch Video