PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam proses menambah lebih banyak bengkel yang boleh memasang peranti had kelajuan (SLD) bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan sistem berkenaan.
Menterinya Anthony Loke berkata sejak diwajibkan bermula 1 Okt lepas, hanya 20 peratus kenderaan berat telah dipasang peranti tersebut.
“Kita tengok setakat ini hanya dalam lingkungan 20 peratus saja (yang pasang SLD)...jadi masih banyak yang belum memasang SLD ini dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan.
“Jadi, kita meminta supaya pihak industri mengambil serius perkara ini dan kita memang sedang menambah lebih banyak bengkel untuk mereka membuat pemasangan SLD di seluruh negara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anthony berkata senarai bengkel yang boleh membuat pemasangan SLD juga akan dikemas kini bagi memudahkan pemilik kenderaan berat di seluruh negara.
Anthony pada 13 Jun lepas mengumumkan penggunaan SLD ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran, yang dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 1 Okt 2025.
Beliau berkata penguatkuasaan yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu adalah sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan berat dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Buat permulaan, ia dilaksanakan kepada semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan berat maksimum 3,500 kilogram (kg) yang didaftar bermula 1 Jan 2015.
Untuk itu, mereka wajib mendapatkan pengesahan kefungsian dan laporan SLD daripada pengilang atau pengeluar kenderaan, bengkel atau fasiliti servis diiktiraf JPJ selain badan pensijilan bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia.
Dokumen pengesahan kefungsian dan laporan SLD itu juga wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor serta ketika permohonan atau pembaharuan permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat.
-- BERNAMA