SEPANG: Peningkatan sokongan global terhadap perjuangan Palestin serta lonjakan liputan antarabangsa, menjadi bukti kejayaan Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berkata, misi itu berjaya memecahkan “tembok propaganda” Zionis Israel pada peringkat antarabangsa, walaupun berdepan pelbagai tekanan, ancaman dan tindakan kekerasan sepanjang operasi kemanusiaan itu berlangsung.
Beliau berkata, capaian dan penglibatan kandungan di platform media sosial rasmi Global Sumud Flotilla mencecah 1.5 bilion, selain lebih 20,000 artikel dalam talian di seluruh dunia diterbitkan dalam tempoh 10 hari selepas insiden kapal flotila dipintas pihak Zionis Israel pada 29 April.
“Selepas interception berlaku, orang kembali bercakap tentang Gaza dan Palestin, dengan peningkatan sebanyak 537 peratus melibatkan 60 negara dan 94 peratus daripadanya membawa naratif positif.
“Sebanyak 12 negara turut mengeluarkan kecaman terhadap tindakan lanun Zionis Israel yang melanggar hak asasi manusia serta hak pelayaran antarabangsa,” katanya ketika berucap pada sambutan kepulangan aktivis kemanusiaan GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.
Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, GSF 2.0, turut mendapat sokongan besar di Eropah apabila 81 ahli Parlimen Kesatuan Eropah menyatakan sokongan terhadap flotila berkenaan, selain lebih 1,000 ahli Parlimen seluruh dunia menandatangani Deklarasi Brussels yang menyokong perjuangan Palestin.
Beliau turut menggariskan bahawa lebih 500 bandar di seluruh dunia mengadakan demonstrasi solidariti sempena ulang tahun Nakba pada 15 Mei, manakala lebih 1.2 juta surat dihantar kepada Ahli-Ahli parlimen di pelbagai negara, bagi mendesak pembebasan peserta flotila.
Mengulas pengalaman peserta Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, mereka bukan sahaja menunjukkan keberanian luar biasa, malah diiktiraf pada peringkat antarabangsa atas disiplin, kepakaran teknikal dan komitmen tinggi sepanjang operasi kemanusiaan ke Gaza itu berlangsung.
Beliau berkata, peserta negara menjadi antara kumpulan yang paling dihormati dalam kalangan delegasi antarabangsa kerana kemampuan mereka mengendalikan operasi kapal, perubatan dan logistik sepanjang misi tersebut.
“Kapten-kapten kita antara yang paling komited, mekanik dan jurutera kapal kita pula sangat berdisiplin serta tidak menimbulkan masalah kepada delegasi lain,” katanya.
Sebanyak 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza, selamat tiba di tanah air malam ini.
Seorang lagi aktivis, Razman Mat Ali masih berada di Istanbul, Turkiye bagi menerima rawatan selepas mengalami Traumatic Pneumothorax atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.
-- BERNAMA