TAIPING: Provokasi daripada penonton didakwa sebagai punca utama berlakunya sedikit kekecohan semasa perlawanan akhir Malaysia International Muay Championship 2026 (MIMAC 3.0), namun tindakan pantas pihak berkuasa berjaya memastikan keadaan kembali terkawal.
Presiden Persatuan Tomoi Perak Mohd Ezry Azamin Abdul Wahab berkata insiden itu tercetus apabila seorang peserta dari Maghribi secara tidak sengaja melakukan sepakan terhadap atlet Malaysia yang terjatuh, sekali gus melanggar peraturan perlawanan dan mengundang rasa tidak puas hati penonton.
"Okay, dalam perlawanan yang terakhir, mengikut rules and regulation, peserta yang jatuh, peserta satu lagi tidak boleh membuat sebarang pukulan, tetapi saya percaya perkara itu berlaku secara tidak sengaja.
"Keadaan berjaya dikawal dan pihak polis pun telah memberikan kawalan yang sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang berlangsung di Dataran Warisan, di sini malam tadi.
Insiden itu berlaku pada perlawanan melibatkan petinju negara Muhammad Nazifi Mat Nasir atau dengan gelarannya GPY Ciko, yang menang kategori 68 hingga 70 kilogram (kg) ketika menentang Ousama Taoud dari Maghribi bagi merangkul tali pinggang Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak Muhammad Naim Al Amin Saharudin.
Mohd Ezry Azamin menjelaskan bahawa atlet terbabit adalah antara empat peserta dari Maghribi yang baru kali pertama bertanding di negara ini, manakala tindakan lanjut mengenai status penyertaan mereka akan diputuskan selepas post-mortem dijalankan.
"Saya belum buat apa-apa keputusan lagi, selalunya kita akan buat post-mortem sehari selepas program berjalan dan baru kita akan buat keputusan … ," katanya.
Mengulas mengenai aspek keselamatan bagi penganjuran akan datang, Mohd Ezry memberi jaminan bahawa pihak penganjur akan terus memperketatkan kawalan sekuriti melalui kerjasama erat dengan pasukan polis dan pasukan keselamatan dalaman.
-- BERNAMA