Skip to main content

Malaysia

"Masih berat untuk terima", bapa kongsi duka kehilangan Prebet Muhammad Amirul

TAMPIN, 12 April -- Rosafindi Tambi Chik (kiri) bapa kepada Allahyarham Muhammad Amirul Raziq kelihatan sugul sejurus selesai pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas, malam tadi.  Prebet dari Unit Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong, Muhammad Amirul Raziq, 24, meninggal dunia selepas koma akibat kecederaan dipercayai dipukul._BERNAMA
Rosafindi Tambi Chik menyifatkan anak sulungnya itu seorang yang bertanggungjawab dan amat menyayangi keluarga, khususnya adik-beradik. - Foto BERNAMA

TAMPIN: Pemergian anggota tentera Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi bukan sahaja meragut nyawa seorang anggota muda, malah meninggalkan luka mendalam kepada seluruh keluarganya.

Rosafindi Tambi Chik, 49, iaitu bapa Allahyarham, menyifatkan anak sulungnya itu seorang yang bertanggungjawab dan amat menyayangi keluarga, khususnya adik-beradik.

“Bapa mana tidak sayang anak…saya reda dengan pemergiannya dan serahkan segalanya kepada Allah. Namun, apa yang berlaku ini masih berat untuk saya terima,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas di sini hari ini.

Menurutnya, Allahyarham seorang yang pendiam dan tidak banyak berkongsi cerita, namun sebagai bekas tentera, dia memahami cabaran dihadapi anggota baharu dalam menjalankan tugas.

Sementara itu adik perempuan, Ainur Shazwani, 22, menyifatkan abangnya sebagai seorang yang sangat baik dan penyayang.

“Kali terakhir kami berhubung adalah pada hari kejadian. Kami sempat membuat panggilan video dan berbual seperti biasa pada waktu siang. Jadi apabila menerima berita yang menimpa abang saya pada malam itu, saya sangat terkejut,” katanya.

Terdahulu, suasana pilu dan hiba menyelubungi Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah di Gemas dekat sini apabila van membawa jenazah Muhammad Amirul tiba kira-kira 2.18 pagi tadi.

Ahli keluarga, anggota Tentera Darat (TDM) serta sahabat turut mengiringi jenazah  anggota pasukan Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) itu untuk disolatkan kira-kira 2.30 pagi di masjid berkenaan.

Turut menunaikan solat jenazah Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Jenazah Muhammad Amirul dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas di sini pada 4.30 pagi dengan penuh istiadat ketenteraan.

Muhammad Amirul, 24, disahkan meninggal dunia pada 9.40 pagi semalam, selepas berada dalam keadaan koma sejak 30 Mac lepas, ketika menerima rawatan di Sultan Haji Ahmad Shah Hospital, Temerloh (HoSHAS) akibat dikasari seorang anggota berpangkat koperal.

Muhammad Amirul dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di hospital akibat kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di Kem Batalion 25 RAMD, Bentong.

Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan diarahkan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video