NEW DELHI: Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS berjaya mengukuhkan kedudukan negara dalam organisasi antara kerajaan itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata ini sekali gus memperluas peranan Malaysia dalam memperjuangkan kerjasama pelbagai hala serta kepentingan negara-negara membangun di pentas global.
Mohamad berkata antara perkara utama yang dibincangkan ialah kepentingan mengekalkan asas multilateralisme dalam hubungan antarabangsa ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin mencabar.
“Pada tahun ini, temanya banyak menekankan betapa pentingnya asas multilateralisme itu, ataupun hubungan pelbagai hala itu perlu dikekalkan.
“Ini selaras dengan dasar luar Malaysia, kita mahu supaya multilateralisme itu menjadi asas kepada hubungan antara negara-negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama petugas dan keluarga Suruhanjaya Tinggi Malaysia, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata Malaysia turut berpandangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu terus diperkasakan sebagai institusi utama dalam mengurus hubungan antarabangsa serta menangani cabaran global.
“Malaysia mahu melihat supaya asas multilateralisme ini dikekalkan dan diperkasakan lagi dan kita sentiasa menyokong sebarang apa jua langkah untuk kita melihat institusi seperti PBB ini memainkan peranan yang lebih penting dalam keadaan dunia geopolitik yang tidak menentu sekarang,” katanya.
Pada mesyuarat itu turut menyaksikan perbincangan tidak rasmi mengenai krisis di Asia Barat termasuk ketegangan di Selat Hormuz yang memberikan kesan kepada ekonomi global dan rantau ASEAN.
“Malaysia mahu melihat supaya krisis di teluk ini segera ditamatkan,” katanya.
Mohamad berkata pada mesyuarat berkenaan, beliau turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Iran, Rusia, India, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Cuba dan Thailand bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta perdagangan intra-BRICS.
“Saya juga mewakili membawa suara Malaysia untuk mempertingkatkan perdagangan intra-BRICS supaya kita lebih banyak berdagang dengan negara-negara yang menyertai anggota BRICS,” katanya.
Beliau berkata antara perkara lain yang dibincangkan adalah kedudukan India sebagai rakan penting dalam sektor perdagangan, farmaseutikal dan pelancongan selain mahu mempertingkatkan hubungan rakyat dengan rakyat melalui penambahbaikan kesalinghubungan.
Selain itu, Malaysia mahu menjadikan Mesir sebagai pintu masuk ke pasaran Afrika Utara.
Dalam perkembangan berkaitan Selat Hormuz, Mohamad berkata Iran memberikan jaminan bahawa kapal Malaysia tidak berdepan masalah untuk melalui laluan strategik itu, namun keadaan trafik kapal yang sesak menyebabkan pergerakan mengambil masa lebih panjang.
“Itu memang telah pun dia (Iran) beri jaminan bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa isu dengan Malaysia dan Malaysia dianggap sebagai negara sahabat.
“Tetapi disebabkan oleh kepadatan terlampau banyak kapal dengan lebih 2,000 kapal yang tersangkut kerana ditutup tempoh hari, ia memerlukan masa untuk keluar daripada Selat Hormuz,” katanya.
Mohamad yang berlepas pulang semalam menamatkan lawatan kerja beliau sempena menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS pada 14 dan 15 Mei.
Pada mesyuarat berkenaan, Menteri Luar telah terlibat dalam empat program utama, iaitu kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri India Narendra Modi, menyampaikan dua kenyataan, majlis makan malam rasmi dan tujuh pertemuan dua hala di sela-sela mesyuarat.
Mesyuarat berkenaan ialah platform utama bagi persiapan kepada Sidang Kemuncak BRICS yang dijadualkan diadakan di sini pada 12 hingga 13 Sept 2026.
-- BERNAMA