KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam keras serangan berterusan terhadap pasukan pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang disifatkan sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mengecam insiden terbaru pada 3 April di El Addaiseh yang menyebabkan tiga anggota pengaman dari Indonesia terbunuh.
Malaysia menegaskan bahawa serangan terhadap anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan sahaja mengancam keselamatan mereka, malah telah mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan petugas misi antarabangsa.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa semua pihak memastikan keselamatan penuh anggota pengaman serta menghormati prinsip bahawa misi PBB adalah tidak boleh diganggu gugat.
Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan tegas bagi menjamin perlindungan segera kepada pasukan pengaman dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Ketegangan di selatan Lubnan semakin meruncing apabila tiga anggota pengaman UNIFIL dari Indonesia terbunuh dalam satu insiden sebelum ini.
Ketua Misi dan Komander UNIFIL, Diodato Abagnara menyifatkan kehilangan itu sebagai bukan sekadar kehilangan anggota pengaman, tetapi “kehilangan saudara”.
Sementara itu, wakil Kementerian Pertahanan Lubnan, Brigedier Jeneral Firas Tarchichi menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap UNIFIL merupakan serangan langsung terhadap keselamatan Lubnan.
Insiden tersebut mencerminkan risiko yang semakin meningkat terhadap pasukan pengaman di tengah konflik serantau yang kian memuncak, sekali gus menguatkan gesaan Malaysia agar perlindungan terhadap anggota PBB dipertingkatkan.