PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng setakat tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah itu merupakan kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal kewangan berskala besar, sekali gus melepasi penanda aras antarabangsa yang lazimnya berada pada tahap 60 hingga 70 peratus.
Beliau berkata, setakat tahun lalu, Malaysia berjaya memulihkan hampir tiga perempat daripada keseluruhan dana 1MDB yang diselewengkan, mengatasi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau RM30 bilion yang dinyatakan dalam beberapa laporan sebelum ini.
"Standard antarabangsa tidak mensasarkan pemulihan sehingga 100 peratus, sebaliknya jika sesebuah negara mampu mendapatkan semula sekitar 60 hingga 70 peratus, ia sudah dianggap mencukupi.
"Namun, Malaysia berjaya melepasi paras itu, sekali gus meletakkan pencapaian ini sebagai antara yang terbaik di peringkat global," katanya pada sidang media berhubung karya seni bernilai tinggi berhubung Pmemulihan aset 1MDB di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Mengikut pecahan, Azam berkata, pemulihan aset bermula dengan RM1.15 bilion pada 2019 (2.75 peratus), meningkat ketara kepada RM14.26 bilion pada 2020 (33.95 peratus), diikuti RM5.12 bilion pada 2021 (12.19 peratus), RM400.39 juta pada 2022 (0.95 peratus), RM8.09 bilion pada 2023 (19.26 peratus), RM715.95 juta pada 2024 (1.70 peratus) dan RM1.57 bilion pada 2025 (3.73 peratus), menjadikan jumlah keseluruhan RM31.3 bilion.
Selain itu, beliau turut menjangkakan sebanyak RM7.9 bilion lagi dana berkaitan skandal itu dapat dipulihkan dalam tempoh terdekat.
"Pada saya satu lagi cabaran yang kita kena hadapi pada masa akan datang dari segi perundangan dan sebagainya. Namun demikian mungkin saya boleh katakan di sini bahawa atas nama SPRM, negara-negara luar melihat kami dan mereka bekerjasama," jelasnya.
Tambah Azam lagi, sehingga kini, negara berjaya mendapatkan semula aset bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk penjualan kapal layar mewah Equanimity pada harga kira-kira RM543 juta, pemulangan jet peribadi serta hartanah di luar negara.