KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menyeru agar rangka kerja menyeluruh mengenai Keharmonian Nasional dapat diwujudkan bagi menangani pertikaian melibatkan kaum, agama dan isu-isu sensitif lain dalam masyarakat secara teratur serta berlandaskan undang-undang.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, apa yang berlaku baru-baru ini akibat pertikaian berkaitan pematuhan peraturan, tempat ibadat dan tindakan penguatkuasaan mencerminkan kebimbangan mendalam masyarakat dan memerlukan tindak balas berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata, walaupun kuasa penguatkuasaan diwujudkan untuk memelihara ketenteraman, namun pergantungan kepada kekerasan atau langkah-langkah sekatan semata-mata tidak dapat menggantikan keperluan kepada kejelasan perundangan dan penyelesaian melalui institusi.
“Memelihara keamanan mesti dilakukan dalam rangka kedaulatan undang-undang. Apabila rungutan asas tidak ditangani, kitaran konfrontasi yang berulang berisiko mendedahkan apa yang seolah-olah menjadi rasa tidak puas hati dan ketidakpercayaan yang telah berakar umbi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Ezri berkata, keharmonian tidak akan dapat dicapai hanya melalui siri penguatkuasaan, sebaliknya memerlukan rangka kerja undang-undang yang kukuh dan mendapat kepercayaan awam.
Katanya, dalam konteks ini, ketiadaan rangka kerja Keharmonian Nasional telah menyebabkan pertikaian sensitif diurus secara reaktif dan bukannya melalui proses undang-undang yang teratur.
Mohamad Ezri berkata, Majlis Peguam bersedia untuk menyumbang secara konstruktif kepada dialog dan usaha reformasi yang bertujuan memperkukuh kepastian undang-undang, kredibiliti institusi dan keharmonian sosial.
Beliau berkata, rangka kerja keharmonian berprinsip akan menyediakan mekanisme yang sah di sisi undang-undang untuk menangani ketegangan berkaitan kaum, agama dan isu-isu masyarakat lain secara konsisten dan telus.
“Majlis Peguam menekankan bahawa sentimen awam mengenai perkara ini tidak boleh dikesampingkan sebagai isu politik sementara. Isu yang berkaitan identiti, kepercayaan dan kesaksamaan memberi kesan mendalam kepada ramai rakyat Malaysia dan memerlukan penglibatan yang berhati-hati serta mengikut undang-undang.
“Keamanan yang berkekalan terjamin apabila perbezaan diurus melalui undang-undang, kejelasan perundangan, dialog dan saling menghormati, bukannya melalui konfrontasi yang berulang,” katanya.
-- BERNAMA