Skip to main content

Malaysia

Lelaki tembak adik hingga maut, ditembak mati polis di Tenom

Seorang lelaki maut selepas ditembak abangnya sendiri menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk di Kampung Kangkawang pada Ahad.
Operasi kepungan kemudian dilaksanakan kira-kira 9.30 pagi, dengan polis mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan itu tidak diendahkan. -Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bertindak menembak adik kandungnya sehingga maut sebelum dia sendiri ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, Tenom, Ahad lepas. 

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pekebun disahkan meninggal dunia selepas mengalami lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.

Suspek berusia 57 tahun, yang juga abang mangsa, dipercayai menembak adiknya menggunakan senjata buatan sendiri jenis ‘bakakuk’.

Ketua Polis Daerah Tenom, Supt Azmir Abd Razak dalam kenyataan hari ini berkata sebaik pihaknya tiba di lokasi, penduduk kampung memaklumkan suspek berada di dalam rumah sambil memegang senjata api serta mengugut akan menembak sesiapa yang menghampiri kawasan itu.

Operasi kepungan kemudian dilaksanakan kira-kira 9.30 pagi, dengan polis mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan itu tidak diendahkan.

“Beberapa das gas pemedih mata dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, namun lelaki itu terus berdegil dan enggan memberikan kerjasama. 

“Keadaan bertukar tegang apabila suspek tiba-tiba berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata api ke arah seorang pegawai polis yang berada berhampiran tingkap sisi rumah. Pegawai tersebut kemudian bertindak bagi tujuan mempertahankan diri, telah melepaskan tiga das tembakan yang mengenai lengan kanan, dada kiri dan rusuk kiri suspek.

“Suspek kemudian rebah di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video