MERBOK: Seorang lelaki ditemukan rentung selepas sebuah rumah dalam kawasan kebun di Taman Lembah Bujang di sini musnah dalam kebakaran semalam.
Mangsa, Arumugam Kondiya, 44, ditemukan meninggal dunia di bilik tidur rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.30 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani ke lokasi.
Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 16 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A satu tingkat yang terbakar kira-kira 80 peratus.
“Pasukan bomba menemukan seorang lelaki dipercayai telah meninggal dunia di ruang bilik tidur pada jam 2.13 petang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, sebuah motosikal yang berada di ruang sama turut musnah dalam kebakaran, namun maklumat berkaitan kenderaan itu belum diperoleh.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 30 meter dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.57 tengah hari sebelum kerja-kerja overhaul dilakukan di lokasi.
"Kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran JBPM Kedah bagi tindakan lanjut," katanya.
Dalam perkembangan sama, Unit K9 turut dipanggil bagi membantu siasatan, manakala siasatan forensik dijalankan bersama pihak polis bagi mengenal pasti punca kejadian.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.52 petang. - Sinar Harian