IPOH: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami halusinasi menikam adik perempuan dan anak lelakinya dalam kejadian di Taman Bandar Baru, Kampar, petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud memaklumkan, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 7.35 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di ruang tamu rumah suspek dan mangsa, kediaman jenis teres dua tingkat di Jalan Intan 2, Taman Bandar Baru.
"Mangsa pertama berusia 22 tahun ditikam tiga kali pada leher sebelah kiri merupakan anak lelaki suspek manakala mangsa kedua ditikam sekali pada leher sebelah kiri merupakan adik kandung suspek,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dalam keadaan kritikal di Wad Kecemasan Hospital Kampar dan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan susulan.
Menurutnya, suspek yang berusia 58 tahun, turut mengalami kecederaan luka di sebelah tapak tangan kiri.
“Kejadian berpunca daripada suspek dipercayai mengalami halusinasi dan pernah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Fatimah Ipoh. Suspek dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan,” ujarnya.
Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.