KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran merangka pelan tindakan jangka panjang bagi menangani gangguan sesi persekolahan akibat perubahan iklim, khususnya fenomena gelombang panas yang semakin kerap melanda negara.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Anuar Ahmad berkata, langkah jangka pendek seperti penangguhan sesi persekolahan atau pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh dilaksanakan, namun pendekatan lebih menyeluruh diperlukan untuk jangka panjang.
Beliau berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, Malaysia telah beberapa kali berdepan gelombang panas, sekali gus menunjukkan fenomena itu bukan lagi bersifat sementara.
"Situasi ini dijangka berterusan pada masa hadapan susulan pemanasan global. Ini bermakna gangguan terhadap sesi persekolahan akan menjadi cabaran berulang yang perlu diurus secara sistematik," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah penyediaan kemudahan dewan terbuka berbumbung di sekolah, khususnya di kawasan yang kerap terjejas dengan cuaca panas.
Katanya, kekurangan kemudahan tersebut ketika ini menyebabkan banyak aktiviti kokurikulum dan sukan tidak dapat dilaksanakan, sekali gus menjejaskan perkembangan fizikal murid.
"Sudah sampai masanya semua sekolah, khususnya yang berisiko tinggi, dilengkapi dengan kemudahan berbumbung supaya aktiviti luar dapat diteruskan walaupun dalam keadaan cuaca panas," katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penggunaan penyaman udara di bilik darjah bagi sekolah yang mempunyai kepadatan murid tinggi, terutama ketika waktu kemuncak suhu panas.
"Penggunaan penyaman udara bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya keperluan, khususnya bagi memastikan keselesaan dan tumpuan murid tidak terjejas dalam persekitaran pembelajaran," jelas beliau.
Dalam pada itu, Anuar menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran berkaitan risiko kesihatan akibat cuaca panas seperti strok haba dan dehidrasi.
Katanya, pendidikan mengenai pengurusan situasi cuaca panas perlu diperluaskan kepada guru, murid dan ibu bapa melalui pelbagai medium termasuk infografik, video dan pekeliling rasmi.
Mengulas pelaksanaan PdPR pula, beliau berpandangan pendekatan itu ketika ini tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh di semua negeri, sebaliknya berdasarkan situasi semasa di kawasan terjejas.
"Garis panduan yang jelas perlu disediakan supaya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah dapat membuat keputusan dengan segera mengikut keadaan setempat," katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan sistem penyampaian maklumat yang pantas dan berkesan kepada ibu bapa bagi memastikan sebarang keputusan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kebajikan murid.
Setakat ini, pengoperasian sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang, Kedah dilaksanakan secara PdPR selama tiga hari bermula hari ini ini susulan cuaca panas yang melanda negeri berkenaan.