Skip to main content

Malaysia

KPM arah semua IPG henti serta-merta aktiviti lasak, air

https://www.sinarharian.com.my/article/774440/berita/semasa/kpm-arah-semua-ipg-henti-serta-merta-aktiviti-lasak-air
Wong bercakap kepada pemberita di Ipoh, hari ini. - Foto Sinar Harian

IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara menghentikan serta-merta aktiviti lasak dan aktiviti air susulan tragedi kematian dua pelajarnya di Kedah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad sebagai langkah segera bagi menjamin keselamatan pelajar serta meredakan kebimbangan ibu bapa.

"Keputusan ini berkuat kuasa sehingga satu pengumuman baharu dibuat oleh pihak kementerian.

“Ini adalah tindakan segera bagi memastikan ibu bapa kepada anak-anak kita di IPG dapat bertenang dan melihat respon pantas daripada pihak KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Datin Khalilah Za'aba.

Mengulas lanjut, Wong berkata, KPM memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Pada masa sama katanya, siasatan dalaman kementerian juga telah dimulakan bagi meneliti semua aspek termasuk prosedur pelaksanaan aktiviti yang terlibat.

“Untuk siasatan polis, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Saya sendiri telahpun turun ke lokasi bertemu pelajar-pelajar terlibat bagi mendengar dan mendapatkan maklumat berkaitan kes tersebut," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua pelajar IPG Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu.

Sementara itu, penyerahan bas baharu berkapasiti 40 tempat duduk kepada SMK Raja Permaisuri Bainun itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian selepas meneliti keperluan semasa pihak sekolah yang sebelum ini menggunakan bas lama berusia lebih tiga dekad.

Dalam majlis berkenaan, Wong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi tujuan penambahbaikan surau sekolah berkenaan seperti yang dimohon pihak pentadbiran. - Sinar Harian

 

Must Watch Video