Skip to main content

Malaysia

KPKM peruntuk lebih RM20 juta kepada KADA tahun ini - Mohamad

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada Program Sentuhan Agro Madani dan Karnival Cahaya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong. -- BERNAMA
Mohamad Sabu hadi pada Majlis Perasmian Karnival Cahaya Aidilfitri Usahawan KPKM dan Majlis Iftar Kasih di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjong pada Jumaat. - Gambar Bernama

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM20.55 juta kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi pelaksanaan beberapa projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara projek tersebut adalah menaik taraf Stesen Pam Kemubu dan Kasa, sistem mekanikal pam serta mekanisasi dan teknologi pintar untuk jelapang padi.

"Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan negeri Kelantan. Kita naik taraf Stesen Pam Kemubu dan Kasa bernilai RM28 juta, sistem mekanikal pam bernilai RM40 juta dan kita perkasakan mekanisasi serta teknologi pintar supaya sawah kita tidak lagi bergantung kepada cara lama semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Cahaya Aidilfitri Usahawan KPKM dan Majlis Iftar Kasih di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjong, di sini, pada Jumaat.

Mohamad berkata, susulan banjir besar di Kelantan pada Disember tahun lepas, KPKM telah meluluskan pampasan berjumlah RM4.62 juta berikutan kemusnahan lebih 1,500 hektar tanaman padi.

"Daripada jumlah itu, RM3.58 juta kepada 465 pesawah di bawah KADA manakala RM146,000 kepada pesawah di IADA Kemasin Semerak. 

"Sejumlah RM891,000 pula kepada 206 pesawah di kawasan luar jelapang seliaan Jabatan Pertanian Kelantan," katanya.

Beliau berkata, pembayaran sedang dibuat secara berfasa melalui Agrobank supaya pesawah menerima bantuan dengan pantas dan efisien. 

-- BERNAMA

Must Watch Video