Skip to main content

Malaysia

KPDN Terengganu sedia peruntukan RM1.2 juta jayakan PJRM Aidilfitri

Sumber: KPDN Terengganu
Peruntukan berkenaan melibatkan kos RM150,000 bagi setiap Parlimen terlibat bagi memastikan barangan keperluan yang dijual peniaga pada harga berpatutan, yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negeri pada 14 Mac ini. - Gambar Bernama

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menyediakan peruntukan RM1.2 juta untuk menjayakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Hari Raya Aidilfitri di lapan Parlimen di negeri itu.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, peruntukan berkenaan melibatkan kos RM150,000 bagi setiap Parlimen terlibat bagi memastikan barangan keperluan yang dijual peniaga pada harga berpatutan, yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negeri pada 14 Mac ini.

Beliau berkata, lapan lokasi itu melibatkan Kampung Raja di Besut, Kampung Telaga Papan (Setiu), Dataran Masjid Tok Jembal (Kuala Nerus), Kampung Losong (Kuala Terengganu), Kampung Pengadang Baru (Marang), Dewan Sivik Ajil (Hulu Terengganu), Dewan Arena Merdeka (Dungun) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai (Kemaman).

"Pengguna berpeluang mendapatkan barangan keperluan seperti daging, ayam, beras, rempah-ratus dan sebagainya dengan potongan harga istimewa antara 10 hingga 30 peratus daripada harga asal.

"PJRM ini dimeriahkan dengan penyertaan rakan strategik yang menawarkan pelbagai barangan keperluan termasuk kelengkapan raya seperti kuih-muih tradisional, pakaian dan aksesori terkini bagi memeriahkan program itu," katanya selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan di Paka, dekat sini.

Turut hadir Pengurus Kanan Petronas Dagangan Berhad (PDB), Ali Azanullah M Razali yang turut menyampaikan sumbangan 100 tong gas memasak dan apron kepada peniaga di bazar berkenaan.

Beliau berkata, peniaga di PJRM Aidilfitri itu juga tidak dihadkan stok barangan yang dijual bagi memastikan lebih banyak pengguna berpeluang membelinya untuk persiapan Aidilfitri.

"Pengguna di Terengganu diharapkan tidak melepaskan peluang membeli-belah PJRM Aidilfitri untuk jimat perbelanjaan bagi persiapan menyambut hari lebaran," katanya.

Selain itu, Mohd Mufsi berkata, KPDN turut melaksanakan program MySaveFood Ramadan atau Ihsan Food Bank bagi mengumpul lebihan makanan yang dijual di lapan lokasi Bazar Ramadan di negeri itu bermula 23 Feb hingga 13 Mac depan.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 493.7 kilogram lebihan makanan di lapan bazar itu berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video