Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Pelajar universiti pemangkin agenda inklusiviti OKU dalam masyarakat

41608558889_wheelchair.jpg
Golongan OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat yang berhak menikmati peluang sama rata dalam pendidikan, pekerjaan, dan kehidupan sosial. - Gambar hiasan

KALAU kita berkunjung ke sesebuah pusat beli-belah atau ke premis pejabat, agak jarang untuk kita lihat wujudnya kemudahan yang mesra orang kurang upaya (OKU). Kalau ada pun, jangkauannya tidak begitu meluas. Asalkan ada papan tanda atau simbol, ia dikira sudah mencukupi. Realitinya, masih ada pemaju atau pihak berkuasa yang memandang enteng akan keperluan mewujudkan kemudahan mesra OKU dipremis masing-masing.

Golongan OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat yang berhak menikmati peluang sama rata dalam pendidikan, pekerjaan, dan kehidupan sosial. Mereka bukan sahaja mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara, malah kehadiran mereka memperkayakan kepelbagaian dalam masyarakat. Namun, kesedaran terhadap hak dan keperluan golongan ini masih belum menyeluruh.

Hakikatnya, masih wujud isu diskriminasi terhadap OKU dalam kehidupan seharian. Ramai dalam kalangan masyarakat tidak menyedari bahawa tindakan mereka, sama ada secara sedar atau tidak, boleh menjurus kepada perbuatan diskriminasi. 

Diskriminasi ini sering digambarkan sebagai satu bentuk layanan yang berbeza, buruk dan negatif terhadap sekumpulan individu akibat daripada kepercayaan yang negatif serta stereotaip yang telah lama berakar. Contohnya, ada yang beranggapan bahawa golongan OKU tidak mampu bekerja, tidak produktif, atau tidak layak memegang jawatan kepimpinan. Persepsi sebegini bukan sahaja menafikan hak mereka, tetapi juga menutup peluang untuk mereka membuktikan kemampuan sebenar. Oleh itu, usaha menyantuni OKU perlu dimulakan dari peringkat awal, khususnya di universiti. Universiti bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, tetapi juga insan yang berjiwa besar, menghormati hak OKU, dan bersedia membina masyarakat inklusif.

Universiti berperanan sebagai tapak asuhan nilai dan sikap. Mahasiswa bukan sahaja dididik untuk cemerlang dalam akademik, tetapi juga untuk menjadi warga yang bertanggungjawab dan berempati. Melalui program akademik, aktiviti kokurikulum, dan kempen kesedaran, mahasiswa dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU. Interaksi dengan rakan OKU di kampus memberi peluang untuk membina empati, sekali gus mengikis stereotaip negatif. Universiti yang menyediakan kemudahan mesra OKU seperti laluan khas, bahan pembelajaran aksesibel, dan sokongan psikososial akan melahirkan graduan yang lebih peka terhadap keperluan masyarakat majmuk.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi contoh jelas bagaimana institusi pendidikan tinggi boleh memainkan peranan penting dalam menyantuni golongan OKU. UKM komited memastikan pelajar, kakitangan, dan pelawat OKU mendapat akses penuh kepada sistem pembelajaran, persekitaran kerja, dan kehidupan kampus yang inklusif serta bebas daripada diskriminasi. Polisi ini merangkumi pengurusan tadbir, penyediaan prasarana mesra OKU, pembangunan perkhidmatan sokongan, serta perlindungan daripada gangguan dan ancaman. Penubuhan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU (UPS-OKU) di UKM pula menjadi bukti nyata komitmen universiti ini. 

Unit ini menyediakan perkhidmatan seperti peminjaman alat sokongan, kenderaan khas, serta pegawai perhubungan OKU. Penubuhan UPS-OKU adalah selari dengan Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di IPT yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, UKM turut menyediakan fasiliti mesra OKU di kolej-kolej kediaman seperti yang terdapat di Kolej Dato’ Onn dan Kolej Ungku Omar, termasuk tandas khas, laluan mesra OKU, petak parkir khas, serta perabot mesra pengguna. Inisiatif ini memastikan keselesaan dan keselamatan penghuni berkeperluan khas, sekali gus menjadikan kampus sebagai ruang pembelajaran yang benar-benar inklusif.

Terbaharu, Kolej Ungku Omar dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) UKM telah menganjurkan program larian UnoRUN. PPDK ialah sebuah pusat yang menyediakan perkhidmatan pemulihan, latihan kemahiran, dan sokongan sosial kepada kepada individu berkeperluan khas. Pusat ini berfungsi sebagai medium untuk membimbing pelatih agar lebih berdikari, membina keyakinan diri, dan berintegrasi dengan masyarakat. Dalam program UnORUN, seramai 9 pelatih dari PPDK UKM yang terdiri daripada golongan OKU kategori pembelajaran seperti autism telah turut serta sebagai peserta larian. Penyertaan mereka bukan sahaja memberi peluang untuk bersosial dan berinteraksi, tetapi juga menjadi simbol penerimaan masyarakat terhadap kepelbagaian. 

Sepanjang larian, para pelatih dibimbing rapi oleh 9 orang Running Buddy. Kesemua Running Buddy ini telah menjalani latihan khusus bagi memastikan mereka berupaya menjaga keselamatan pelatih, membina ikatan emosi, serta mewujudkan keserasian sepanjang larian berlangsung. Pendekatan ini bukan sahaja menjamin kelancaran acara, tetapi juga memberi pengalaman bermakna kepada pelatih yang merasakan sokongan penuh daripada masyarakat. OnuRun bukan sekadar acara sukan, tetapi simbol kesatuan dan penerimaan masyarakat terhadap kepelbagaian. Ia memberi peluang kepada peserta OKU untuk merasai pengalaman sama seperti peserta lain, sekali gus menghapuskan jurang sosial. Melalui penglibatan dalam penganjuran dan penyertaan, mahasiswa UKM dididik untuk menghormati, memahami, dan menyantuni golongan OKU secara praktikal.

Apabila mahasiswa menamatkan pengajian mereka dan seterusnya melangkah ke dunia pekerjaan, mereka membawa bersama nilai yang telah dipupuk di universiti. Graduan yang sedar akan kepentingan inklusiviti akan memastikan golongan OKU diberi peluang yang sepatutnya dalam tugasan dan kenaikan pangkat. Kesedaran awal menjadikan mereka lebih terbuka untuk menyokong dasar syarikat yang mesra OKU, seperti fleksibiliti kerja dan kemudahan fizikal. Persekitaran kerja yang menghargai kepelbagaian akan melahirkan tenaga kerja yang lebih kreatif, berdaya saing, dan harmoni. Graduan yang melalui pengalaman inklusif di universiti akan lebih bersedia untuk menjadi agen perubahan dalam organisasi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan budaya kerja yang progresif.

Usaha menyantuni golongan OKU sejak di universiti memberi kesan berpanjangan kepada masyarakat dan negara. Graduan yang menghormati hak OKU akan menjadi warga yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang. Apabila golongan OKU diberi peluang yang adil, mereka dapat menyumbang dalam bidang ekonomi, sosial, dan budaya. Malaysia pula akan dilihat sebagai negara yang progresif dan berperikemanusiaan, selaras dengan prinsip hak asasi manusia sejagat. Kesedaran yang dipupuk sejak di universiti akan melahirkan generasi yang lebih prihatin, sekali gus memperkukuh usaha negara untuk membina masyarakat inklusif.


*Penulis adalah Setiausaha Majlis Pengetua Kolej Akademia, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi, dan/atau berdasarkan pemerhatian menerusi bidang yang dijalani penulis, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video