Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Hari raya zaman AI: Antara algoritma, komunikasi dan keikhlasan manusia

41743732394_tbEidGenericRaya.jpg
Teknologi boleh mempercepatkan komunikasi, tetapi ia tidak boleh menggantikan keikhlasan. - Gambar hiasan

DULU, ucapan Hari Raya hadir bersama bunyi ketukan di pintu, derap langkah di halaman, dan kad-kad ucapan yang ditulis dengan tangan. Meskipun, kadangkala tidak sempurna, tetapi dirasai penuh kegembiraan pengirimnya dan senyum penerimanya.

Hari ini, ia hadir dalam bentuk notifikasi.

Satu demi satu ucapan hari raya masuk ke telefon pintar. Indah, tersusun, malah ada yang begitu puitis seolah-olah ditulis oleh seorang penulis profesional. Hakikatnya, sebahagian besar mungkin dijana oleh kecerdasan buatan (AI). Cepat, tepat, dan hampir tanpa usaha.

Namun, di sebalik kemudahan yang menakjubkan ini, kita berdepan satu realiti yang lebih kompleks. Ucapan Hari Raya bukan sahaja telah berubah dari segi medium, tetapi juga dari segi makna komunikasi itu sendiri.

Dari Silaturrahim Fizikal ke Komunikasi Digital

Perubahan dalam sambutan Aidilfitri hari ini bukan sekadar peralihan teknologi, tetapi satu transformasi dalam ekosistem komunikasi.

Selain ucapan secara digital, duit raya kini diberi melalui QR Code atau e-wallet. Jemputan rumah terbuka disebarkan melalui WhatsApp atau Google Form. Gambar keluarga disusun rapi di Instagram dan Facebook, manakala ucapan Raya dihantar pantas dalam bentuk siaran (broadcast) kepada ratusan rakan dan taulan secara serentak.

Dalam konteks komunikasi digital, ini mencerminkan peralihan daripada komunikasi interpersonal yang bersifat mendalam kepada komunikasi massa peribadi (mass-personal communication), di mana mesej dihantar kepada ramai, tetapi dengan ilusi keperibadian.

Kita masih lagi “berhubung”, tetapi dengan caranya telah berubah.

Komunikasi menjadi lebih pantas, lebih luas, tetapi juga berisiko menjadi lebih dangkal apabila kuantiti mula mengatasi kualiti, dan kehadiran fizikal digantikan dengan keterlihatan atas talian.

Apabila AI Menjadi Pengantara Emosi

Kemunculan AI membawa transformasi ini ke tahap yang lebih mendalam.

Hari ini, kita bukan sahaja menggunakan teknologi untuk menyampaikan mesej atau ucapan Hari Raya, malah kita telah mula menyerahkan sebahagian besar proses berkomunikasi itu kepada mesin.

AI boleh menulis ucapan Hari Raya yang sempurna dari segi struktur, nada, dan emosi. Ia boleh menghasilkan kad digital yang estetik dalam beberapa saat. Ia boleh menyusun semula gambar keluarga, memperbaiki pencahayaan, bahkan mencipta ilusi yang jauh lebih “sempurna” daripada keadaan sebenar.

Dalam bidang komunikasi, ini menimbulkan satu fenomena penting: pengantaraan emosi oleh algoritma.

Persoalannya bukan lagi sekadar “apa yang kita katakan”, tetapi siapa atau apa yang sebenarnya menyusun kata-kata tersebut.

Apabila ucapan dijana oleh AI, adakah ia masih mencerminkan suara dan jiwa kita ?

Apabila emosi diwakili oleh mesin, adakah ia masih dirasai dengan cara yang sama?

Tidak dinafikan, AI dan teknologi digital membawa banyak kelebihan. Ia menjadikan komunikasi lebih segera, efisien, lebih inklusif, dan lebih kreatif.

Dalam konteks reka bentuk pengajaran, ini selari dengan prinsip memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan menjadikan sesuatu lebih mudah diakses, lebih menarik, dan lebih berkesan.

Namun, dalam konteks hubungan manusia, terdapat satu dimensi yang tidak boleh dioptimumkan sepenuhnya iaitu keikhlasan.

Apabila ucapan menjadi terlalu mudah dihasilkan, ia mungkin kehilangan nilai usaha. Apabila mesej dihantar secara pukal, ia mungkin kehilangan sentuhan peribadi. Apabila gambar disempurnakan oleh AI, ia mungkin menjauhkan kita daripada keindahan ketidaksempurnaan yang sebenar.

Kita mungkin masih berkomunikasi, tetapi komunikasi itu menjadi semakin “automated”.

Kita mungkin masih berhubung, tetapi hubungan itu menjadi semakin “performative”.

Dalam dunia yang dipacu algoritma, ada satu kehilangan yang berlaku secara senyap, kehilangan rasa yang tidak boleh diprogramkan.

Literasi AI dan Etika Komunikasi

Di sinilah pentingnya literasi AI. Ia bukan sahaja sebagai kemahiran teknikal, tetapi sebagai keupayaan etika dan reflektif dalam menggunakan teknologi digital dan AI.

Sebagai pendidik, kita memahami bahawa teknologi hanyalah alat. Nilainya bergantung kepada bagaimana ia digunakan dalam konteks pengalaman manusia.
Dalam komunikasi digital, ini bermakna kita perlu sedar bahawa AI boleh membantu, tetapi tidak harus menggantikan suara peribadi, dan automasi tidak boleh menggantikan empati

Menggunakan AI untuk merangka ucapan mungkin efisien. Tetapi menambah satu ayat yang benar-benar datang dari hati, itu akan menjadikan komunikasi lebih bermakna.

Ini bukan soal menolak teknologi, tetapi bagaimana kita menggunakannya dengan kesedaran, menyulam emosi sendiri dan tanggungjawab yang tinggi.

Raya Masa Hadapan: Antara Realiti dan Representasi

Jika kita melihat ke hadapan, tidak mustahil sambutan Hari Raya akan terus berubah seiring perkembangan teknologi.

Bayangkan satu hari nanti, kita “beraya” dalam ruang maya, bertemu keluarga dalam metaverse, menghantar kuih raya melalui perkhidmatan automatik, atau menggunakan avatar digital untuk mewakili diri kita.

Semua ini mungkin kedengaran futuristik, tetapi sebahagiannya sudah pun bermula hari ini.

Persoalannya bukan sama ada perubahan ini akan berlaku, tetapi bagaimana kita mengimbanginya dengan nilai-nilai yang menjadi teras Aidilfitri itu sendiri.

Mengembalikan Makna dalam Era Digital

Pada akhirnya, Hari Raya bukan saja tentang teknologi, ia tentang hubungan antara sesama manusia dan pencipta.

Ia tentang keberanian untuk memohon maaf dengan tulus. Dengan jabat tangan dan bertentang mata.

Tentang kesediaan untuk kembali kepada keluarga. Tentang menghargai kehadiran secara fizikal, bukan sekadar kehadiran digital.

Teknologi boleh mempercepatkan komunikasi, tetapi ia tidak boleh menggantikan keikhlasan. AI boleh menyusun ayat yang indah, tetapi ia tidak mampu merasai makna di sebaliknya.

Dalam konteks Malaysia yang semakin menekankan literasi digital dan AI, sambutan Hari Raya memberikan kita satu ruang refleksi yang penting. Untuk bertanya bukan sahaja bagaimana kita menggunakan teknologi, tetapi bagaimana teknologi membentuk cara kita menjaga hubungan sesama manusia dan menzahirkan silaturrahim.

Mungkin cabaran sebenar bukanlah untuk menolak AI, tetapi untuk memastikan bahawa dalam setiap ucapan, setiap gambar, dan setiap interaksi, kita masih hadir sebagai manusia yang punya emosi, bukan sekadar pengguna teknologi.

Kerana akhirnya, dalam lautan mesej yang tidak berpenghujung, yang paling diingati bukanlah yang paling cantik atau paling sempurna, tetapi yang paling jujur dan saling menyantuni satu sama lain.

Selamat Hari Raya. Semoga dalam dunia yang semakin pintar, kita tidak kehilangan kebijaksanaan hati. 


*Prof Madya Dr Siti Nazuar Sailin adalah Pensyarah Bidang Teknologi Pendidikan, Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia.

**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

 

Must Watch Video