Skip to main content

Dunia

Ketua UNRWA beri amaran peningkatan ketegangan di Tebing Barat gugat penyelesaian dua negara

UNRWA Commissioner-General Philippe Lazzarini arrives to attend an international humanitarian conference for the people of Gaza at the Elysee Palace in Paris, France, November 9, 2023. REUTERS/Claudia Greco/File Photo Purchase Licensing Rights
Lazzarini berkata peneroka haram Israel yang merampas tanah Palestin turut meningkatkan keganasan serta rampasan tanah di Tebing Barat. - Gambar Reuters

RAMALLAH: Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini menyatakan bahawa Israel terus memberikan tekanan politik bagi menghapuskan agensi itu.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), kenyataan itu dibuat dalam sidang media pada Jumaat malam di luar Persidangan Keselamatan Munich yang bermula di Munich, Jerman.

Lazzarini menjelaskan bahawa situasi di Semenanjung Gaza “kekal tragik”, dengan penduduk kehilangan hampir segala-galanya dan bergelut untuk terus hidup akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Beliau berkata kanak-kanak di Gaza tidak bersekolah selama lebih dua tahun, sambil menegaskan kepentingan UNRWA untuk terus menyediakan perkhidmatan kesihatan serta pendidikan rendah dan menengah.

Beliau turut menyatakan bahawa agensi itu berada di bawah tekanan yang amat besar dan Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa.

“Israel terus memberikan tekanan politik untuk menghapuskan UNRWA, dan kami menyaksikan kemusnahan ibu pejabat kami di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.”

Lazzarini berkata peneroka haram Israel yang merampas tanah Palestin turut meningkatkan keganasan serta rampasan tanah di Tebing Barat.

Beliau menegaskan keperluan untuk memberi perhatian terhadap perkembangan di Tebing Barat sebelum terlambat dan sebelum ia menggugat masa depan penyelesaian dua negara.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video