PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli hadir secara secara sukarela di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 9.50 pagi ini bagi membantu siasatan melibatkan perjanjian pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom (UK), Arm Holdings plc.
Menurut bekas Menteri Ekonomi, beliau akan mengemukakan 28 item bagi membantu SPRM mendapatkan gambaran lebih menyeluruh berhubung rundingan dan pelaksanaan kerjasama terbabit.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, peguamnya telah menghantar surat rasmi kepada SPRM pada Ahad lepas bagi memaklumkan hasrat tersebut.
“Saya secara suka rela ingin membuat keterangan tambahan supaya boleh membantu siasatan SPRM, dengan bukti-bukti lain yang tidak disoal siasat semasa tempoh mengambil keterangan minggu lepas.
“Sebab itu hari ini saya hadir SPRM dengan banyak lagi bukti yang pada pandangan saya sepatutnya diambil kira oleh SPRM dan pasukan penyiasat dalam membuat keputusan bagaimana nak melengkapkan siasatan ini supaya menjadi lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui media di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata beliau menjangkakan memberi keterangan selama tiga hingga empat jam hari ini memandangkan setiap dokumen dan bukti yang diserahkan perlu dijelaskan kepada pegawai penyiasat.
Ujarnya, dokumen tambahan itu turut merangkumi laporan media, kenyataan rasmi, rekod berkaitan serta pengumuman dasar melibatkan kerjasama dengan Arm Holdings.
“Jadi saya ingat selepas keterangan saya pada hari ini itu dapat membantu SPRM menentukan lagi hala tuduh siapa lagi yang nak dipanggil dan dengan semua keterangan yang lebih menyeluruh.
“Saya yakin SPRM boleh buat keputusan kerana setakat ini kita tahulah sepanjang soal siasat saya, tidak ada elemen wang, atau transaksi,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Rafizi mendakwa masih ramai saksi yang berkaitan tidak dipanggil bagi membantu siasatan berhubung usaha sama antara kerajaan dengan Arm Holdings.
Pada 7 Mei lalu, Rafizi selesai memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selepas empat hari berturut-turut hadir bagi membantu siasatan kes berkenaan.
SPRM memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.