KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian akibat penipuan pelaburan mencecah RM1.47 bilion melibatkan 9,603 kes pada tahun lepas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti lima modus operandi yang kebanyakannya menggunakan media sosial sebagai medium utama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, antara taktik dikesan ialah klon firm, tawaran keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, skim Ponzi, penipuan pelaburan cinta dan penggunaan platform kripto palsu.
Beliau berkata, sindiket menggunakan Facebook dan Instagram untuk menarik mangsa sebelum mengarahkan komunikasi melalui WhatsApp atau Telegram, seterusnya memasukkan mereka ke dalam kumpulan pelaburan palsu yang kononnya dikendalikan oleh profesional.
“Mangsa akan melihat paparan keuntungan dalam platform palsu namun tidak dapat membuat pengeluaran dan diminta membuat bayaran tambahan seperti caj pemprosesan, cukai atau yuran lain,” katanya kepada Bernama.
Rusdi berkata, selain media sosial dan aplikasi komunikasi, trend semasa juga menunjukkan peningkatan penggunaan aset kripto seperti USDT (mata wang kripto Tether), apabila mangsa diarahkan memindahkan dana ke dompet digital sindiket melalui platform tidak sah.
“Bagi skim Ponzi, keuntungan awal dibayar menggunakan dana pelabur baharu sebelum sistem akhirnya gagal apabila tiada kemasukan baharu,” katanya.
Rusdi berkata, bagi tempoh 2024 hingga Mac tahun ini, kes pelaburan tidak wujud menunjukkan trend peningkatan ketara dengan 6,337 kes pada 2024 melibatkan kerugian RM848.6 juta dan meningkat kepada 9,603 kes dengan kerugian RM1.47 bilion pada 2025.
“Bagi Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 2,204 kes dilaporkan dengan kerugian RM246.7 juta, menunjukkan jenayah ini masih berterusan dan membimbangkan,” katanya.
Rusdi berkata, pelaburan saham mencatatkan jumlah kes tertinggi, diikuti kategori lain seperti kripto dan emas, menunjukkan kecenderungan sindiket mengeksploitasi instrumen pelaburan popular.
“Dari segi profil mangsa, golongan dalam lingkungan 31 hingga 50 tahun paling ramai terlibat, khususnya kumpulan usia 41 hingga 50 tahun.
“Ini diikuti 51 hingga 60 tahun serta 21 hingga 30 tahun yang menunjukkan golongan usia yang produktif dalam kewangan dan pelaburan lebih terdedah,” katanya.
Rusdi berkata, golongan bekerja termasuk sektor swasta mencatatkan bilangan mangsa tertinggi diikuti penjawat awam dan individu bekerja sendiri.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat dan membuat semakan sebelum melabur.
“Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang bayaran ke akaun meragukan termasuk akaun individu yang tidak berdaftar,” katanya
-- BERNAMA