KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin sebagai langkah progresif bagi menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan anak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan dapatan bahawa kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita, khususnya berumur antara 25 hingga 39 tahun, menunjukkan sedikit penurunan, antaranya disebabkan komitmen materniti.
Beliau berkata elaun itu akan diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan bertujuan memberikan sokongan kewangan tambahan kepada ibu yang memerlukan masa lebih panjang selepas tempoh cuti bersalin.
"Rasionalnya ialah kita tidak mahu setelah itu sepertimana yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan medan pekerjaan," kata beliau ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata faedah elaun akan ditetapkan pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan bagi pekerja wanita yang diinsuranskan, dan akan dibayar secara sekali beri (one-off).
"Elaun ini merupakan bantuan kewangan bagi cuti tambahan hingga 30 hari sebulan yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari," kata beliau sambil menambah kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.
Anwar berkata inisiatif itu dijangka memberikan manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara.
Mengikut Akta Kerja 1955, setiap pekerja wanita di negara ini layak menikmati cuti bersalin sebanyak 98 hari berterusan termasuk hari rehat dan hari kelepasan am.
Pekerja wanita turut layak mendapatkan elaun bersalin sekiranya bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh sembilan bulan sebelum bersalin, bekerja sekurang-kurangnya sehari dalam tempoh empat bulan sebelum bersalin, dan mempunyai kurang daripada lima orang anak yang masih hidup.
-- BERNAMA