Skip to main content

Malaysia

Kerajaan fokus kurangkan beban hidup rakyat - Ahmad Zahid

Zahid KKDW. Kredit: Awani
Mengurangkan beban perbelanjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat menjadi fokus utama kerajaan dalam menghadapi krisis tenaga global yang menjejaskan harga barangan dan kos sara hidup.- Astro AWANI

PUTRAJAYA: Mengurangkan beban perbelanjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat menjadi fokus utama kerajaan dalam menghadapi krisis tenaga global yang menjejaskan harga barangan dan kos sara hidup.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan perkara itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sara Hidup Negara (NACCOL) kali ke-17 yang dipengerusikannya hari ini.

"Kepentingan rakyat akan terus menjadi keutamaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

"Memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, kerajaan sentiasa peka dan memastikan setiap langkah yang diambil bertujuan untuk terus membela kehidupan rakyat tanpa membebankan mereka," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW pada Khamis.

Ahmad Zahid turut menekankan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah, khususnya dengan menjadikan konflik Asia Barat sebagai alasan.

Ahmad Zahid berkata, sebagai langkah segera dan responsif, mesyuarat memutuskan supaya Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sara Hidup akan bersidang secara berkala berdasarkan keperluan semasa sepanjang tempoh krisis tenaga.

"Dalam usaha berterusan membantu rakyat, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi tahun 2026 untuk bantuan sosial, subsidi serta insentif peningkatan pendapatan.

"Antara inisiatif utama termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Program Jualan Rahmah serta subsidi bahan api dan sektor pertanian yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.

Ahmad Zahid berkata, mengambil kira perkembangan konflik di Asia Barat, jumlah peruntukan subsidi kepada rakyat dijangka akan bertambah.

"Ini membuktikan bahawa bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan Kerajaan juga akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam, memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan, serta memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat lebih jelas, telus dan mudah difahami.

 

Must Watch Video