KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar mesej tegas kepada syarikat-syarikat besar dan konglomerat di Malaysia supaya tidak meminggirkan kebajikan pekerja di sebalik kepesatan ekonomi dan keuntungan luar biasa yang dicatatkan syarikat.
Berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, hari ini, Perdana Menteri menekankan bahawa kejayaan negara menguruskan pelaksanaan gaji minimum RM3,000 sebelum ini membuktikan bahawa syarikat besar masih mampu mengekalkan keuntungan meskipun membiayai kos upah yang lebih adil.
Tegas beliau, walaupun terdapat kebimbangan awal daripada syarikat milik kerajaan (GLC) ketika dasar itu diperkenalkan, realitinya, perniagaan mereka tetap berkembang dan mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan.
"Pada hari ini saya nak ulangi tegaskan apa yang saya bicarakan setiap tahun, saya mahu majikan dengar, syarikat kaya dan konglomerat besar dengar baik-baik.
“Negara ini harus aman, negara ini harus bangun membangun dan maju. Negara ini harus jamin keselesaan orang kaya dan saudagar-saudagar, tetapi harus juga jamin nasib pekerja itu terbela, ini yang paling utama," tegas beliau.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mempersoalkan sikap segelintir majikan dalam senarai 50 syarikat teratas di Malaysia yang masih berkira-kira untuk memberikan kenaikan gaji yang kecil kepada pekerja meskipun syarikat mengaut keuntungan mencecah bilion ringgit.
"Kita senaraikan berapa syarikat besar di negara kita, untung RM1 bilion hingga RM2 bilion tetapi mahu naikkan gaji pekerja RM40 pun sukar, bagaimana hal ini boleh berlaku?
“Saya sedar seorang Perdana Menteri harus bicara teratur kerana pertumbuhan kita membanggakan, pelaburan mencatat sejarah tertinggi, kadar pengangguran rendah dan prestasi ringgit adalah yang terbaik di Asia, namun suara berikutnya ialah tentang nasib rakyat di bawah," tegas beliau.
Beliau menambah, keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, serta dedikasi pekerja kilang dan pegawai kerajaan peringkat rendah yang berdepan pelbagai risiko setiap hari.
Justeru, beliau menggesa pihak swasta untuk turut serta memikul tanggungjawab moral dalam menyeimbangkan pengagihan kekayaan.
Tambah Anwar, walaupun sistem perundangan untuk memaksa syarikat swasta menaikkan gaji secara drastik adalah mencabar dan tidak mempunyai formula yang mudah, beliau menyeru kepada "pintu hati" para pemilik modal untuk menilai kembali sumbangan tenaga kerja mereka.
"Saya ingin menggesa wakil syarikat supaya renung bersama. Kita mahu pekerja disiplin dan produktiviti tinggi, itu tanggungjawab semua peringkat.
“Kita mahu negara ini bersih, maka tukang sapu dan tukang cuci juga berperanan besar. Jadi boleh tak kita tanya, apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya?" soal beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, gesaan ini bukanlah satu langkah yang akan menjejaskan daya saing negara di peringkat global, sebaliknya ia adalah tuntutan kemanusiaan yang berteraskan konsep Malaysia MADANI.
“Saya tidak mengusulkan diberikan ganjaran yang menyebabkan kita hilang daya saing. Saya hanya usulkan supaya pimpinan negara dan pimpinan syarikat itu lebih prihatin dan menunjukkan sikap ehsan. Jika kita mahu pertahankan negara ini supaya aman dan inklusif, ia harus mempunyai jiwa," katanya.