KUALA LUMPUR: Kematian seorang lelaki di sebuah bilik hotel di ibu negara membawa kepada pembongkaran kegiatan penyalahgunaan dadah membabitkan lapan individu warga tempatan dan asing dalam serbuan awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kematian seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
"Mayat lelaki itu dihantar ke HKL untuk bedah siasat yang dijalankan pada jam 9.30 pagi sebelum selesai kira-kira jam 12 tengah hari.
"Punca kematian setakat ini masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik hotel terbabit kira-kira jam 4 pagi.
"Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu pelbagai warganegara terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.
"Hasil pemeriksaan turut menemukan satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta tiga biji pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram," katanya.
Menurutnya, semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Sinar Harian