Skip to main content

Malaysia

Kelengkapan MALBATT di Lubnan bukan untuk operasi zon peperangan aktif - Khaled Nordin

Malbatt, UNIFIL, Lubnan - Kredit FB MALBATT 850-13
Mandat yang diberikan kepada Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 adalah sebagai pasukan pengaman, justeru kelengkapan serta keupayaan yang dimiliki tidak direka bagi operasi dalam zon peperangan aktif. - Gambar/ MALBATT 850-13

KOTA TINGGI: Malaysia kini menunggu keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung semakan semula terma penugasan pasukan pengaman negara di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata persekitaran operasi di Lubnan ketika ini telah berubah susulan konflik berterusan antara Israel dan Hezbollah, sekali gus memerlukan penilaian semula terhadap penugasan pasukan pengaman di kawasan terbabit.

“Apabila kita menghantar pasukan ke UNIFIL, tujuannya ialah sebagai pasukan pengaman antara pihak-pihak yang bertelagah supaya tidak meneruskan peperangan, tetapi hari ini keadaan telah bertukar apabila mereka berperang antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Pengakalan Bot Oren Kampung Gembut, di sini hari ini.

Beliau menegaskan mandat yang diberikan kepada Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 adalah sebagai pasukan pengaman, justeru kelengkapan serta keupayaan yang dimiliki tidak direka bagi operasi dalam zon peperangan aktif.

Khaled berkata sebarang keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menamatkan penugasan MALBATT 850-13, akan ditentukan secara bersama antara Malaysia dan PBB.

“Kalau keputusannya kekal, kita kekal. Kalau keputusannya boleh balik, maka kita akan balik. Keputusan itu dibuat antara kerajaan dengan PBB, bukan oleh Kementerian Pertahanan sahaja,” katanya.

Mohamed Khaled berkata perkara itu telah dibincangkan pada peringkat Kabinet, manakala Wisma Putra telah menyampaikan maklum balas rasmi kepada PBB berhubung situasi semasa di lapangan.

Beliau berkata kira-kira 600 anggota termasuk pegawai dari Brunei kini ditempatkan di bawah MALBATT, dengan langkah keselamatan dipertingkat termasuk menghentikan rondaan luar dan mengekalkan anggota di dalam pangkalan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini berkata Malaysia akan memohon PBB untuk menyemak semula terma penugasan pengaman dalam UNIFIL, susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di Lubnan.

Terdahulu, beberapa insiden serangan terhadap pasukan pengaman UNIFIL turut dilaporkan, termasuk insiden yang mengorbankan anggota dari Indonesia, mencerminkan peningkatan risiko keselamatan di kawasan operasi tersebut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video