Skip to main content

Malaysia

Karnival 60 tahun MARA perkukuh agenda pembangunan Bumiputera

Karnival Mara. Astro AWANI
Zulfikri melahirkan rasa bangga terhadap sambutan luar biasa pengunjung pada hari pertama penganjuran, yang disifatkan sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap agenda pembangunan Bumiputera yang dibawa MARA. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Karnival 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera menerusi pendekatan Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P), selaras dengan mandat dan tanggungjawab MARA dalam meningkatkan sosioekonomi Bumiputera dan negara.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, karnival yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dari 1 hingga 5 Mei 2026, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, merupakan acara yang bersifat komprehensif dan signifikan, mempamerkan keseluruhan peranan serta fungsi MARA.

“Karnival ini adalah satu karnival yang agak komprehensif dan signifikan dengan fungsi, amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada MARA untuk meningkatkan sosioekonomi Bumiputera dan negara. Jadi, semuanya kita pamerkan di karnival ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap sambutan luar biasa pengunjung pada hari pertama penganjuran, yang disifatkan sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap agenda pembangunan Bumiputera yang dibawa MARA.

Karnival ini menampilkan pelbagai reruai pameran dan jualan melibatkan sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan, sekali gus membuka peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan inisiatif dan program MARA.

Menurutnya, pengunjung bukan sahaja dapat meneroka peluang pendidikan di bawah MARA, malah berpeluang mengenal pasti potensi keusahawanan serta jaringan industri yang tersedia untuk Bumiputera.

“Penganjuran karnival ini memberi ruang interaksi secara menyeluruh antara institusi pendidikan, usahawan, pemain industri serta masyarakat, sekali gus memacu agenda pembangunan Bumiputera secara bersepadu,” katanya.

Suasana karnival turut dimeriahkan dengan karnival makanan yang menawarkan pelbagai juadah tempatan, menjadikannya destinasi sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

Kemuncak sambutan pada 5 Mei pula bakal menampilkan persembahan istimewa artis tempatan, sekali gus menutup tirai sambutan ulang tahun ke‑60 penubuhan MARA.

Secara keseluruhannya, Karnival 60 Tahun MARA mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memperkasa agenda pembangunan Bumiputera melalui pendekatan menyeluruh, berimpak dan inklusif.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival 60 Tahun MARA di WTC Kuala Lumpur sebelum ia melabuhkan tirai pada 5 Mei ini.

 

 

Must Watch Video