SUNGAI BULOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang di sungai berhampiran Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE) di sini pada Sabtu, ditemukan lemas pagi Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 petang Sabtu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh digerakkan ke lokasi.
"Jentera pertama tiba pada jam 4.42 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan susulan maklumat awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas.
"Mangsa, dikenali sebagai Paulus Amsal Jimri, dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
"Operasi SAR membabitkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam sebagai pasukan bantuan bersama BBP Sungai Buloh, dengan kekuatan seramai 12 anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Rosdi Hainan," katanya.
Katanya, pada hari pertama operasi, pencarian dijalankan menggunakan teknik ‘surface searching’ dari darat sejauh kira-kira dua kilometer, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.
Operasi ditangguhkan pada jam 9 malam berikutan faktor keselamatan dan keadaan gelap, sebelum Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka berhampiran Idea Naluri Sungai Buloh.
Operasi disambung semula pada jam 7.30 pagi ini dengan anggota menyusuri tebing sungai dari Jambatan Paya Jaras Hilir hingga ke Jambatan Merbau Sempak, namun masih gagal menemukan mangsa.
JBPM Selangor memaklumkan pihaknya kemudian menerima panggilan pada jam 10 pagi mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di tepi sungai di Jalan Welfare, Kampung Baru Sungai Buloh.
Difahamkan, lokasi mangsa ditemukan kira-kira 1.9 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.