CHUKAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera terkena tembakan senapang angin yang dipercayai dilepaskan jirannya di Felda Seberang Tayor dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang bermain bersama abangnya di hadapan rumah mereka pada 3.45 petang.
Beliau berkata mangsa menangis selepas terkena tembakan itu apabila merasa sakit di bahagian belakang sebelah kiri badan.
"Hasil pemeriksaan, ibu mangsa mendapati ada kesan kemerahan di belakang badan anaknya dan menemukan satu biji bebola besi di hadapan rumah mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Razi berkata bapa mangsa berusia 36 tahun yang juga buruh binaan mengesyaki bebola besi itu telah digunakan sebagai peluru senapang angin oleh jiran hadapan rumahnya lalu membuat laporan di Balai Polis Ayer Putih, dekat sini pada 5 petang.
Beliau berkata susulan itu, polis menahan suspek dan hasil soal siasat, dia mengaku telah melepaskan satu das tembakan ke arah rumah jirannya pada jarak 40 meter melalui tingkap rumahnya namun tidak menyangka tembakan itu terkena kanak-kanak terbabit.
“Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri berukuran panjang 123 sentimeter (cm) dan 107 cm berserta sembilan biji bebola besi.
"Suspek turut mendedahkan senapang angin itu dibeli secara dalam talian tahun lepas manakala satu laras lagi telah direka oleh suspek sendiri. Senjata itu didakwa digunakan bagi menembak burung," katanya.
Mohd Razi berkata hasil saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif terhadap morfin dan memiliki 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.
Beliau berkata kanak-kanak berkenaan dirawat di Hospital Kemaman manakala suspek kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA