Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak 7 tahun maut dilanggar ketika lintas jalan

KANAK-KANAK TUJUH TAHUN MAUT DILANGGAR KETIKA LINTAS JALAN -- PDRM
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Kota Kuala Muda, Sungai Petani, malam tadi. - Gambar ihsan PDRM

SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Kota Kuala Muda, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pada jam 9.45 malam tadi, anggotanya di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Muda menerima maklumat terdapat kemalangan membabitkan sebuah kereta dipercayai terlanggar pejalan kaki di lokasi di Kota Kuala Muda.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9.23 malam.

"Pemandu kereta terbabit dipercayai dari arah Kota Kuala Muda hendak menuju ke Pulau Sayak, namun ketika dalam perjalanan dan kenderaan sedang bergerak lurus, secara tiba-tiba kanak-kanak terbabit melintas secara mengejut dari arah kiri jalan ke hadapan laluan kereta berkenaan.

"Akibat jarak terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar kanak-kanak terbabit.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Hanyan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk tindakan lanjut.

 

 

Must Watch Video