Skip to main content

Malaysia

JPV Melaka keluar 887 Permit Sembelih Luar bagi penyembelihan korban - Exco

61718434631_LEMBU.jpg
Permit itu melibatkan 2,834 ekor haiwan ternakan terdiri daripada 2,623 ekor lembu atau kerbau dan 211 ekor kambing atau biri-biri. - Gambar hiasan

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka, setakat Jumaat lepas, mengeluarkan sebanyak 887 Permit Sembelih Luar (PSL) bagi aktiviti penyembelihan bersempena dengan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong berkata permit itu melibatkan 2,834 ekor haiwan ternakan terdiri daripada 2,623 ekor lembu atau kerbau dan 211 ekor kambing atau biri-biri.

Beliau berkata jumlah pengeluaran PSL berkenaan dijangka meningkat kerana tempoh permohonan masih dibuka hingga esok.

"Permohonan PSL dibuka mulai 11 Mei lepas hingga esok dan boleh dilakukan di pejabat perkhidmatan veterinar daerah atau kawasan yang berhampiran.

"Bagaimanapun, untuk memperoleh PSL, pemohon perlu terlebih dahulu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) bagi ternakan yang hendak disembelih," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata penyembelihan bagi tujuan jualan dibenarkan bermula hari ini hingga Selasa depan, manakala penyembelihan bagi ibadah korban dibenarkan mulai 27 Mei hingga 30 Mei.

PSL, katanya, dikeluarkan bagi membolehkan aktiviti penyembelihan haiwan ternakan bersempena dengan ibadah korban yang dijalankan di luar rumah sembelih kerajaan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan.

Low berkata pengeluaran permit itu juga bertujuan memastikan aktiviti penyembelihan luar dapat dipantau dan dilaksanakan mengikut syarat yang ditetapkan, termasuk aspek kesihatan veterinar, kesihatan awam serta keselamatan makanan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement