KULIM: Seramai 119 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menggempur sebuah tapak pembinaan di Padang Meha, di sini, pada Selasa.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, dalam operasi yang bermula jam 10 pagi, seramai 155 individu terdiri dari pelbagai warganegara telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 119 lelaki warganegara asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.
“Tangkapan melibatkan warganegara Pakistan, Bangladesh, India dan China yang berumur antara 20 hingga 58 tahun dan tiga (3) Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang tempoh operasi bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kedah untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Sementara itu Mohd Ridzzuan berkata, JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang Imigresen negara.