MEKAH: Seramai 514 orang daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia terpaksa menarik diri pada saat akhir sebelum berlepas ke Tanah Suci, kebanyakannya disebabkan masalah kesihatan dan faktor luar jangka.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata antara punca utama penarikan diri itu termasuk kes kematian, kemalangan serta keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan jemaah meneruskan perjalanan ibadah.
Menurut beliau, terdapat juga kes melibatkan iddah, apabila kematian pasangan menyebabkan individu berkenaan tidak lagi dibenarkan menunaikan ibadah haji pada musim ini.
“Selain itu, ada jemaah yang mengalami masalah kesihatan serius, termasuk rebah di lapangan terbang sebelum berlepas dan perlu dirujuk segera ke hospital.
“Keadaan-keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa membatalkan hasrat ke Tanah Suci walaupun telah menerima visa haji,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Mengulas pengisian kekosongan, Mohd Hisham berkata, setiap kekosongan yang berlaku akan diisi segera menerusi senarai menunggu, selagi sistem Nusuk yang dikendalikan kerajaan Arab Saudi masih dibuka.
Katanya, tawaran haji akan diberikan kepada individu yang bersedia dalam tempoh singkat, termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan segera sebelum pengesahan dibuat.
“Kita mempunyai susunan keutamaan tersendiri untuk menentukan calon yang layak. Biasanya proses ini telah ditutup, namun buat masa ini ia masih dibuka dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hisham memaklumkan bahawa pihaknya menerima enam laporan kehilangan kad Nusuk melibatkan jemaah haji Malaysia setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jemaah tidak perlu panik kerana pengesahan diri masih boleh dilakukan menggunakan versi digital menerusi aplikasi Nusuk.
“Aplikasi ini mengandungi maklumat penting seperti permit dan visa haji yang boleh ditunjukkan di pusat pemeriksaan sekiranya kad fizikal hilang,” katanya.
Menurut beliau, usaha menggantikan kad Nusuk baharu sedang dijalankan dengan kerjasama syarikat pengendali serta pihak berkuasa Arab Saudi, tertakluk kepada kelulusan semasa.
“Semakan juga dibuat di kaunter hilang dan jumpa bagi mengesan kemungkinan kad yang tercicir dapat ditemukan semula,” katanya.
Sehubungan itu, jemaah dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kad Nusuk dengan baik, tidak meletakkannya merata-rata dan digalakkan memakainya di leher bagi mengelakkan kehilangan.